Anggota Polis Diingatkan Jangan Sampai Kena "Checkmate"

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman
LABUAN – Anggota polis di Sabah dan Labuan diingatkan supaya mengelak daripada terkena ‘checkmate’ oleh orang ramai dalam menjalankan tugas masing-masing.

Dengan menggunakan analogi daripada permainan catur, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berpesan kepada anggota polis agar mereka mengelak daripada “terperangkap di hujung jalan mati” ketika menjalankan tugas kepolisan.

“Checkmate adalah istilah dalam permainan catur. Dalam permainan catur, kita perlu mengelak daripada terkena checkmate, dan ini samalah dengan apabila kita menjalankan tugas.

“Kita perlu mengelak daripada terkandas dalam menjalankan tugas seharian kita. Anda menjadi perhatian orang ramai di semua peringkat.

“Oleh itu, anggota polis, tanpa mengira pangkat, perlu terus melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan bagi membolehkan mereka menyelesaikan kes yang dilaporkan orang ramai dengan berkesan,” katanya.

Jalaluddin berkata demikian dalam ucaptama kepada anggota polis Labuan ketika melakukan lawatan kerja rasmi di sini semalam.

Ketika menegaskan tentang pentingnya pengurusan masa dalam setiap aspek tugas kepolisan, beliau berkata anggota polis tidak boleh melewat-lewatkan tugas mereka dalam mengendalikan sesuatu kes bagi mengelak daripada dikritik dan dipandang negatif oleh orang ramai.

“Kita perlu sentiasa menambah baik prestasi kita, terutama dalam mengendalikan kes dan dari segi tempoh memberi respons kepada sesuatu kes,” katanya sambil berpesan bahawa anggota polis tidak boleh bersikap berat sebelah dan emosi dalam menyelesaikan sebarang kes. – BERNAMA