Arab Saudi Umum Bina Bangunan Tertinggi Di Dunia, "Jeddah Tower"

Jeddah Tower yang sebelum ini dikenali sebagai Kingdom Tower
Pihak pemaju Arab Saudi, Kingdom Holding Co  yang merancang untuk membina bangunan tertinggi di dunia mengumukan syarikatnya telah berjaya mendapatkan pembiayaan bagi menyiapkan projek pecah rekod dunia itu.

Syarikat berkenaan yang dipengerusikan oleh bilionair Arab Saudi, Putera Alwaleed Talal berkata, sekutunya iaitu Jeddah Economic Company telah memperoleh perjanjian pembiayaan AS$2 bilion (RM8.51 bilion) dengan Alinma Investment di Arab Saudi bagi menyiapkan Jeddah Tower di negara berkenaan.

Bangunan yang sebelum ini digelar sebagai 'Kingdom Tower' itu difahamkan mempunyai 170 tingkat dengan ketinggian satu kilometer atau hampir 1,000 meter sekali gus melepasi Burj Khalifa di Dubai yang merupakan bangunan tertinggi di dunia ketika ini.

Menurut fakta, kos untuk keseluruhan projek tersebut sebelum dianggarkan AS$1.2 bilion (RM5.1 bilion).

Burj Khalifa sebelum ini memegang rekod bangunan tertinggi di dunia dengan mempunyai ketinggian 828 meter.

Menurut satu lagi kenyataan yang dikeluarkan, Alinma Bank akan membiayai dana itu dan akan diuruskan oleh Alinma Investment, manakala Jeddah Economic Company pula menjadi pemaju utama bagi projek tersebut.

Katanya, dana AS$2.24 bilion (RM9.52 bilion) yang diperoleh menerusi pembiayaan berasaskan Syariah turut akan digunakan untuk membangunkan fasa pertama Bandar Ekonomi Jeddah, sebuah projek bandar di sekitar menara berkenaan di kawasan Obhur di utara Jeddah.

Tahun lalu, Alwaleed dilaporkan dalam satu kenyataan mengatakan bahawa menara yang terdiri daripada pejabat, hotel dan kediaman itu dijangka siap pada tahun 2018. -Kedahnews.com