PEMERGIAN pelawak Pak Yus atau nama sebenarnya Yussry Edoo, 39, yang meninggal dunia akibat sesak nafas 30 November lalu sedikit sebanyak menyentap dan mengejutkan peminat dan juga rakan baik arwah.
Apatah lagi, kelibat Pak Yus yang juga dikenali dengan nama panggilan Yus Jambu di kalangan peminat baru sahaja dilihat menerusi kemunculannya pada program Juara Parodi dua hari sebelum pemergiannya.
Mengakui masih terasa dengan kehilangan sahabat baiknya itu, pelawak Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria, 39, berkata, dia dan Misha Omar yang bergabung bersama arwah di bawah kumpulan Kobis Pedas dalam Juara Parodi mengambil keputusan untuk meneruskan pertandingan tersebut berdua sahaja.
Bukan itu sahaja, Tauke berkata, dia juga tidak mungkin mencari pengganti Pak Yus untuk bersamanya di dalam Jambu selepas ini.
"Bagi saya Pak Yus tiada pengganti dan tak mungkin ada pengganti yang sama macam dia. Bagi saya Jambu adalah untuk saya dan Pak Yus.
"Kalau pun selepas ini saya masuk mana-mana pertandingan dan bergandingan dengan pelawak lain, saya akan mulakan semula dengan nama baru. Tapi kumpulan Jambu kini tinggal kenangan sahaja," ujarnya kepada Zass.
Berkongsi kenangannya bersama arwah, Tauke berkata, terlalu banyak kenangan yang tersimpan kejap di dalam memori, antaranya adalah sifat pemurah arwah yang suka memberi.
Katanya, selain itu, kata-kata arwah menerusi perbualan di aplikasi WhatsApp contohnya sedikit sebanyak mengubati kerinduan Tauke terhadapnya.
"Pak Yus bila WhatsApp, dia suka bagi ayat pelik-pelik. Kadang kala kalau dia cakap pun, dia serius, tapi ayat dia buat saya tergelak.
"Tapi sekarang ini, semua mesej dari Pak Yus, termasuk rakaman suara dia saya simpan dan itulah antara perkara berharga buat saya kini.
"Semua kata-kata dia membuatkan saya rindu," jelasnya.
Tauke berkata, segala tawaran persembahan melibatkan Jambu juga sudah dibatalkan dan dia kini fokus kepada tawaran solo yang datang.
"Saya kini sibuk dengan tugasnya sebagai penyampai radio Era Fm dan akan muncul menerusi musim terbaharu Projek Meja sebanyak 13 episod," katanya.
Tunai amanat
Dalam pada itu, berkongsi mengenai majlis pertunangannya yang berlangsung 6 Disember lalu, Tauke berkata, antara sebab dia memilih untuk mengikat tali pertunangan adalah kerana amanat arwah ibu, bapa dan Pak Yus sendiri.
Jelasnya, sejak berkawan dengan tunangnya yang dikenali dengan nama Nadia, Pak Yus beberapa kali meminta dia untuk melangsungkan perkahwinan dengan Nadia secepat mungkin.
"Antara sebab utama saya mengikat tali pertunangan dan seterusnya mendirikan rumah tangga selepas ini adalah kerana sudah tiba masanya saya memikirkan masa depan. Bukan bermaksud saya tak pernah fikirkan masa depan sebelum ini.
"Selain itu, ia juga adalah amanat dari arwah ibu bapa saya yang mahu saya memiliki sebuah keluarga sempurna dan amanat dari arwah Pak Yus sendiri yang minta saya untuk cepat-cepat berkahwin," katanya.
Tauke berkata agak sebak apabila Pak Yus pernah memberitahu tidak dapat hadir pada hari pentingnya itu.
"Saya sebenarnya sudah lama merancang untuk melangsungkan pertunangan ini tetapi baru sekarang dapat dilaksanakan kerana sibuk dengan kerjaya.
"Mula-mula kami rancang untuk adakan majlis pada 29 November sebelum ditukar pada 5 Disember dan saya ada beritahu Pak Yus untuk datang.
"Tapi Pak Yus kata dia tak dapat datang pada tarikh berkenaan dan kini barulah saya tahu kenapa dia tak datang," katanya.
Dalam pada itu, Tauke berkata, mengikut perancangan dia dan Nadia bakal disatukan sebagai suami-isteri pada Disember tahun hadapan.
Bagaimanapun tiada tarikh ditetapkan pada majlis pertunangan itu namun berharap dapat disatukan segera dengan wanita berkenaan.
“Bertunang selama setahun tetapi lagi cepat disatukan lebih baik. Insya-Allah jika sudah ada tarikh saya akan beritahu,” ujarnya.
Sumber: Sinar Harian