Askar Stormtrooper Star Wars Berjaya Tawan White House?


WASHINGTON DC – White House di sini turut dilanda ‘demam’ episod terbaharu filem Star Wars: The Force Awakens, apabila robot R2-D2 dan dua anggota tentera elit Stormtrooper muncul mengejutkan ramai wartawan.

Dengan penampilan singkat dalam bilik taklimat media di bahagian West Wing bangunan pejabat dan kediaman rasmi Presiden Amerika Syarikat (AS) itu, kehadiran ‘mengejut’ mereka turut mencetuskan suasana ceria seketika.

Kedatangan watak terkenal ini sempena acara tayangan amal khas filem itu untuk kanak-kanak daripada keluarga yang kehilangan seseorang dalam peperangan dan ia dihoskan sendiri oleh Wanita Pertama AS, Michelle Obama.


Star Wars: The Force Awakens dijangka mencatat kutipan jualan lebih AS$200 juta menjelang hujung minggu ini dan mungkin mengatasi pungutan yang diraih oleh filem Jurassic World sebanyak AS$208.8 juta pada Jun lalu.

Siri ketujuh itu menampilkan beberapa pelakon baharu selain yang asal, Harrison Ford, Mark Hamill dan Carries Fisher. Di pasaran antarabangsa, sekuel Star Wars itu setakat ini mencatatkan hasil AS$72.7 juta di 44 negara.


Filem epik ini yang dihasilkan oleh George Lucas bermula pada 1977 lalu sebelum gergasi pengeluar filem, Disney ‘membelinya’ daripada syarikat penerbitan terkenal, Lucasfilm dengan bayaran sebanyak AS$4 bilion pada 2012. – Agensi