ATM Sedang Usaha Bawa Pulang Jenazah Allahyarham Kapten Hasman

Allahyarham Kapten Hasman Hussin
KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia sedang berusaha membawa pulang jenazah Allahyarham Kapten Hasman Hussin yang disahkan meninggal dunia selepas kenderaan dinaikinya hanyut dalam banjir di Missouri, Amerika Syarikat.

Jurucakap Kementerian Pertahanan berkata, setakat ini pihaknya masih belum dapat menentukan tarikh membawa pulang jenazah Allahyarham Hasman, 33, ke tanah air.

Ini katanya, bergantung kepada urusan tuntutan jenazah termasuk proses pengecaman.

Markas Tentera Darat Wisma Pertahanan hari ini mengesahkan mayat Allahyarham Hasman, pegawai tentera yang dilaporkan hilang pada Sabtu lalu selepas dipercayai dihanyutkan banjir di Pulaski County, Missouri, telah dijumpai pada 11 pagi, 28 Disember waktu tempatan (1 pagi 29 Disember waktu Malaysia).

Allahyarham yang mengikuti kursus di Fort Leonard Wood sejak 1 Okt lepas, dilaporkan hilang apabila kenderaan yang dinaiki bersama empat rakan kolejnya dihanyutkan banjir. Mayat empat rakannya sudah dijumpai sebelum ini.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein merakamkan ucapan takziahnya kepada keluarga Allahyarham Hasman.

"Takziah kepada keluarga Allahyarham Kapten Hasman Hussin...Moga arwah dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT.

"Saya berdoa supaya anggota keluarga arwah tabah, sabar dan diberi kekuatan ketika berdepan dengan situasi sedih ini," kata Hishammuddin. - Bernama