Aung San Suu Kyi Kutip Sampah Dengan Rakyat


KAWHMU, MYANMAR - Pemimpin Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) Aung San Suu Kyi membuat penampilan pertama di tempat awam sejak memenangi pilihan raya negara itu dengan cara agak pelik - mengutip sampah bersama rakyatnya.

Sampah menjadi masalah terbesar di Myanmar kerana jarang dikutip dan kekurangan kawasan buangan sampah.

Sehubungan itu, Suu Kyi membangkitkan isu berkenaan dan menjadikannya misi utama untuk berkhidmat kepada rakyatnya.

Pemimpin berusia 70 tahun itu mengetuai ahli partinya dan sukarelawan membersihkan kejiranan Kawhmu, di pinggir bandar Yangon.

Syu Kyi dengan bersahaja membawa beg plastik sampah dan memakai sarung tangan mengutip sampah bersama sukarelawan lain.

Dia juga dilihat tidak bercakap dengan wartawan kecuali memberitahu mereka berhenti mengambil gambar dan mula mengutip sampah.

“Mengutip sampah perkara pertama yang boleh kita lakukan untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Ia perkara asas dan pelajaran penting kepada semua orang,” kata ahli parlimen dari Yangon, Thet Thet Khine.

Sementara itu, sukarelawan, Myo Aung memberitahu mereka perlukan pemimpin yang bagus yang dapat menunjukkan bagaimana mereka perlu hidup.

“Apabila dia mengatakan sesuatu, penduduk bersedia melakukannya. Dia melakukan kerjanya dan tidak hanya bercakap mengenainya,” katanya.

Di utara bandar Mandalay, NLD turut menganjurkan kempen mengutip sampah disertai ramai orang termasuk sami dan pegawai atasan. - AFP