"Bapok" Pertama Berjaya Jadi Majistret Mahkamah Di Kanada

Kael McKenzie
OTTAWA – Kanada cipta sejarah apabila menamakan transgender sebagai majistret minggu ini di Mahkamah Perbandaran Manitoba, iaitu yang pertama daripada golongan berkenaan memegang jawatan hakim di negara itu.

Kael McKenzie, pernah menjadi peguam dan kemudian dilantik sebagai pendakwa di Winnipeg, ibu negeri Manitoba, sebelum dinamakan lewat minggu ini oleh jawatankuasa bebas pencalonan hakim tempatan.

Akhbar The Globe and Mail melaporkan, McKenzie menjadi hakim transgender pertama secara terbuka di Kanada dan pondan ketiga di benua Amerika Utara, selepas hakim di negeri California dan Texas, Amerika Syarikat.

Kanada sejak 1969 membenarkan aktiviti seks sesama jantina malah membenarkan pondan menyertai khidmat tentera mulai 1992 selain menjadi negara keempat di dunia yang mengizinkan perkahwinan LGBT pada 2005.

Anggota terbaharu trio hakim berkenaan menyifatkan pencalonan tersebut sebagai langkah penting sekali gus satu pengiktirafan pihak berkuasa terhadap kemampuan kelompok pondan dalam arena perundangan.

“Bagi komuniti saya, saya rasa ia amat bermakna. Saya rasa kami (golongan pondan) sudah berjaya memecahkan siling kaca,” katanya kepada rangkaian stesen penyiaran kebangsaan, CBC News. – AFP