Bekas MB Kedah Singkap Punca Sebenar Pepecahan UMNO-PAS 1970'an

Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid
ALOR SETAR - Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid semalam bertindak mengimbas kembali punca sebenar perpecahan antara PAS dan UMNO yang berlaku pada tahun 1970an.

Menurut beliau, pepecahan antara dua parti terbesar bangsa Melayu beragama Islam itu sebenarnya hanylaha disebabkan salah faham yang kecil.

Kata Sanusi, masalah tersebut berlaku ketika zaman pemerintahan Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn yang dikatakan telah "dicucuk" pihak tidak bertanggungjawab sehingga Kelantan terpaksa diisytiharkan darurat.

Menurut bekas Menteri Kedah itu, beliau adalah merupakan antara individu yang bertanggungjawab mengisytiharkan darurat ke atas Kelantan ketika itu ekoran peranannya yang memangku jawatan Menteri Dalam Negeri.

"Bila isytihar Kelantan darurat walhal belum ada berbunuhan sesama sendiri tapi baru ada cerita kita dah isytihar maka marahlah orang Kelantan maka akhirnya keluarlah PAS daripada BN sebab 'jauh hati'.

"Kerana ada orang yang pergi pengaruhi Tun Hussein Onn nyatakan akan jadi huru-hara sehingga berbunuhan.

"Ini bermaknalah perpecahan UMNO dan PAS sikit saja sebabnya kerana PAS tak tahu Tun Hussein tak mahu ada pertumpahan darah dan Tun Hussein tak tahu ada muslihat orang tak mahu PAS ada dalam BN," katanya ketika berucap dalam perasmian Persidangan Agung Perkasa kali ke-6, semalam.

Katanya, disebabkan di zaman itu tiada komunikasi yang baik maka secara tidak langsung telah menyebabkan PAS dan UMNO bergaduh sesama sendiri. 

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan semalam turut menjelaskan bahawa partinya sedia memaafkan segala kesalahan yang dilakukan UMNO terhadap PAS sebelum ini.

"Ini bukan perkara baru ramai pemimpin lain masuk dalam PAS mereka ada kedudukan baik, mereka diterima dengan hati terbuka itu di kalangan ahli (PAS).

"Sekarang ini antara parti (UMNO - PAS) kita akan laksana perkara sama (memaafkan dan melupakan)," jelasnya di dalam majlis yang sama. - Kedahnews.com