Beli Hadiah PS4 Untuk Krismas, Tapi Dapat Kayu Lukisan Tak Senonoh


MASSACHUSETTS -  Seorang kanak-kanak benar-benar kecewa selepas menyedari hadiah permainan video Sony Playstation 4 (PS4) yang dibeli ayahnya telah digantikan dengan bongkah kayu.

Tidak cukup dengan itu, gambar lucah juga telah dilukis di atas bongkah kayu berkenaan oleh individu tidak dapat dipastikan.

Memetik laporan dari Boston Fox 25, hadiah tersebut dibeli oleh Brian Lundy untuk anaknya Scott, 9, sempena Hari Natal pada 25 Disember lalu.

Brian dan isterinya, Kristin yang terkejut dan turut kecewa dengan kejadian tersebut menuduh kedai permainan video yang terletak di Saugus telah mengenakan "prank" terhadap mereka.

Brian kemudian berjumpa dengan pengurus kedai tersebut dan diberikan ganti rugi sebuah permainan video yang lain.

"Kami tidak suka mengecewakan pelanggan kami dan kami berterima kasih kepada kakitangan yang membantu menyelesaikan hal ini," kata pengurus kedai berkenaan, Lee Henderson.

Kejadian tersebut disyaki dilakukan oleh kakitangan kedai itu sendiri dan ia dilaporkan pernah berlaku lebih dari sekali membabitkan kedai yang sama. -Kedahnews.com