Beragama Islam, Tapi Teringin Nak Bela Anjing: Apa Hukumnya?

Gambar Hiasan
Saya beragama Islam dan bercadang memelihara anjing tetapi rakan saya memberitahu perkara itu melanggar hukum Islam. Ada juga rakan yang memberitahu perkara itu tidak melanggar hukum Islam asalkan kita tidak menyentuh haiwan itu.

Untuk mendapatkan kepastian, saya inginkan penjelasan ustaz mengenai orang Islam yang memelihara anjing.

LAN, Sungai Buloh, Selangor


Jawapan:

Islam mengharuskan pemeliharaan anjing dengan tujuan tertentu dan syarat yang ketat. Anjing bukan binatang yang dibela sebagai hobi dan haram membelanya sebagai hobi. Ia adalah disebabkan menakutkan tetamu dan najis yang berat (mughalazah).

Terdapat sabda Rasulullah dari Abdullah Bin Umar bermaksud;
“Aku mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda: Sesiapa memelihara anjing selain anjing untuk berburu atau anjing menjaga binatang ternak, maka pahalanya akan berkurang dua qirath setiap harinya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Walaupun tiada larangan pengharamannya namun terdapat tegahan bersama pengecualian untuk memeliharanya. Antara ciri-ciri yang mengharuskan ialah anjing terlatih, menjaga rumah, kebun atau ladang dan tidak tinggal bersama-sama anjing itu.

Diriwayatkan Rasulullah pernah menolak jemputan kaum yang membela anjing dan menerima jemputan kaum yang membela kucing. Alasan yang dinyatakan adalah kerana kucing tidak bernajis.

Anjing yang tinggal bersama-sama akan menyebabkan malaikat rahmat dan kasih sayang sukar menghampiri. Selain bunyi salakannya mengganggu jiran, orang yang lalu-lalang dan tetamu di samping jilatannya mengandungi najis munghallazah. Wallahualam.

Sumber: Ustaz Haslin Baharin/myMetro