Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah |
Lucunya, pada 24 Disember, agensi berita antarabangsa AFP menjadi sumber rujukan popular apabila melaporkan pemerintah negara minyak terkaya rantau Asia tenggara itu melarang sambutan perayaan Krismas oleh rakyatnya.
Bagaimanapun arahan dititahkan oleh Sultan Hassanal Bolkiah itu tidak tertakluk kepada minoriti kecil penganut agama Kristian di negara Islam tersebut yang bersempadan darat dan laut dengan negeri Sarawak, Malaysia.
Hakikatnya, ini bukan pun peraturan baharu bahkan ia sudah mula dikuatkuasakan sejak tahun lalu lagi selaras dengan pelaksanaan undang-undang ketat jenayah dan syariah Islamiah secara rasmi berperingkat-peringkat.
Umumnya, pewartaan itu bukan masalah besar pun kerana rakyat Brunei tidak ramai, apatah lagi bukan Muslim yang biasanya melibatkan masyarakat asing atau ekspatriat pegawai dagang luar negara bermastautin di Brunei.
Untuk rekod, undang-undang Brunei tidak pernah mengiktiraf orang bukan Melayu Islam di negara itu sebagai warganegara, waima yang sudah lama menetap di situ sebaliknya mereka hanya dianggap penduduk tetap sahaja.
Malangnya, laporan AFP itu sengaja diperbesar-besarkan ke seluruh dunia seolah-olah cuma Brunei yang tidak menyambut Krismas, malah mengharamkan umat Islam meraikannya kerana bimbang boleh menjejaskan akidah.
Bagi yang ‘mahir’ dengan agenda jahat tersirat gerakan Zionis antarabangsa, taktik ‘hentam’ Brunei sebetulnya baru mula tahun 2014 gara-gara pelaksanaan Hukum Hudud, Qisas dan Takzir dalam undang-undang jenayah.
Tidak hairanlah media Barat berjaya ‘racun’ seluruh dunia konon Brunei teruk amat sangat dan wajar dikutuk, hanya sebab ‘marah’ tindakan Sultan Hassanal Bolkiah mahu tadbir negara itu sebagai model negara Islam.
Ironinya, tidak ramai tahu banyak negara lain termasuk bukan Islam yang juga tidak menyambut Krismas, bahkan perayaan terbesar Kristian itu tiada diwartakan sebagai cuti kebangsaan dalam kalendar rasmi negara mereka.
Antara negara Islam tidak cuti Krismas ialah Arab Saudi, Algeria, Afghanistan, Azerbaijan, Bahrain, Iran, Kuwait, Libya, Maghribi, Oman, Qatar, Somalia, Tajikistan, Tunisia, Turkmenistan, Turki, UAE, Uzbekistan dan Yaman.
Manakala Iraq, Jordan, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Lubnan, Mesir, Sudan dan Syria mewartakan Krismas hanya cuti untuk penganut Kristian serta disambut pada 7 Januari yang turut dikenali sebagai Krismas Kuptik atau Ortodok.
Jangan terkejut, Israel yang terletak dekat sahaja Gereja Nativiti di Bethlehem, Palestin iaitu tempat kelahiran Nabi Isa A.S. atau Jesus menurut kepercayaan masyarakat Kristian Katholik pun tidak bercuti pada hari Krismas!
Bagi negara bukan Islam tiada cuti Krismas pula antaranya Bhutan, China, Jepun, Mongolia, Korea Utara, Laos, Rusia, Taiwan, Thailand dan Vietnam. Mungkin dengar agak aneh atau janggal tetapi itulah realiti sebenarnya.
Ada negara Islam bercuti Krismas iaitu Albania, Bosnia, Kosovo, Bangladesh, Indonesia dan Malaysia; sementara Pakistan pula cuti 25 Disember bukan sebab Krismas tetapi Hari Peringatan Pengasasnya, Muhammad Ali Jinnah. – Agensi