Budak Lain Sibuk Dengan Gajet, Saiful Hadi Sibuk Dengan Ilmu & Al-Quran

KEJAYAAN yang diraih hasil daripada dorongan keluarga yang sentiasa mengutamakan ilmu.
Ketika rakan sebayanya akrab dengan pelbagai gajet dan telefon pintar, Saiful Hadi Baharin, 13, lebih gemar mendampingi buku ilmiah dan al-Quran.

Walaupun tidak meminggirkan sama sekali kecanggihan teknologi moden dan aktif bersukan seperti bermain badminton dan bola sepak, ia tidak sampai melekakan remaja ini daripada menjalankan tanggungjawabnya.

Apatah lagi, dalam usia masih hijau, anak kepada pasangan Baharin Wariya dan Azilah Hamidon ini sudah bergelar penceramah motivasi sejak dua tahun lalu.

Lebih menarik, anak lelaki tunggal dan bongsu daripada lima beradik ini bukan saja mampu memberi motivasi kepada rakan sebaya, malah remaja lebih dewasa.

MENCIPTA nama sebagai motivator muda.
“Inilah bakti saya kepada mereka yang memerlukan. Walaupun masih muda, kelebihan ini saya gunakan sebaik mungkin untuk memberi sesuatu yang bermanfaat kepada orang lain.

“Pada saya, usia bukan penghalang. Ia sekadar angka. Sebaliknya iltizam, kekuatan diri serta tanggungjawab untuk berkongsi ilmu dengan orang lain lebih utama,” katanya.


Sejak dua tahun lalu, jadual hujung minggu atau cuti persekolahannya sentiasa padat kerana perlu memenuhi undangan memberi ceramah kepada peserta kem motivasi.

Langkah remaja ini sebagai motivator bermula sejak dia bergelar juara rancangan realiti Qari Junior musim kedua anjuran TV3 pada tahun 2013.

Bertitik tolak daripada kejayaan itu, ditambah kecemerlangannya dalam bidang pelajaran, hafazan, kepemimpinan dan beberapa aktiviti kokurikulum, Saiful Hadi dilihat sebagai remaja yang layak dijadikan ikon kepada rakan sebayanya.

Apatah lagi, dia petah bercakap dan kelebihan menyertai pertandingan pidato dijadikan platform untuk terus menyemarak serta menyuburkan bakatnya.

Tidak hairan, calon Tokoh Nilam Negeri Selangor ini mula diberi kepercayaan oleh Zero To Pro Learning Resources TTDI untuk menjadi penceramah motivasi ketika kem cuti sekolah.

Langkah pertama itu disusuli dengan program motivasi serta perkongsian kejayaan kepada peserta kem cuti sekolah dianjurkan Mukmin Generation Training and Consultancy (MGTC) berpangkalan di Balok, Kuantan.

Berikutan kebolehannya sebagai penceramah motivasi mendorong MGTC melantiknya sebagai speaker rasmi pada tahun lalu.

Menceritakan pengalamannya bergelar ‘pakar motivasi cilik,’ Saiful Hadi berkata, pada awalnya perasaan gementar dan gemuruh sentiasa menjadi ‘musuhnya’.

“Saya masih tak dapat melupakan pengalaman pertama bergelar motivator. Kali pertama di atas pentas dan berhadapan dengan ratusan peserta membuatkan saya kaku dan berdebar-debar.

“Walaupun saya ada pengalaman menyertai pelbagai pertandingan seperti hafazan, tilawah al-Quran dan pidato, cabaran sebagai motivator sangat berbeza,” katanya.

MENGHARUMKAN nama sekolah dengan pelbagai siri kejayaan.
Menurutnya, sebagai peserta hafazan atau pidato, dia hanya perlu memenangi hati beberapa juri tapi sebagai motivator sahaja perlu bercakap tapi memberi motivasi kepada peserta yang bukan sedikit.

“Bukan mudah hendak memotivasi orang, apatah lagi pelajar sekolah yang datang daripada pelbagai latar belakang dan ragam.

“Tapi selepas beberapa kali memberi motivasi, saya akhirnya makin yakin, malah penceramah lebih berpengalaman juga sentiasa memberi bimbingan dan berkongsi pengalaman

“Dalam sesi motivasi, saya akan berkongsi rahsia kejayaan dengan peserta baik dalam bidang akademik atau agama. Apa yang saya tekankan ialah keseimbangan dalam kedua-duanya,” katanya.

Ditanya pendapatnya mengenai keraguan orang yang menganggapnya masih mentah untuk bergelar motivator, Saiful Hadi berkata, persepsi itu sukar dikikis kerana kebiasaannya orang menilai hanya melalui fizikal semata- mata.

“Persepsi itu antara cabaran paling sukar terutama bagaimana mahu meyakinkan orang mengenai keupayaan diri kita.

“Bagaimanapun, saya sentiasa positif dan optimis selain berusaha menambah ilmu. Saya mahu buktikan persepsi itu salah,” katanya

Sebagai penceramah motivasi, dia perlu memastikan pencapaian akademiknya terus cemerlang jika mahu menjadi ikon kepada pelajar yang mengikuti ceramah motivasinya.

Selain pencapaian akademik yang cemerlang ketika bersekolah di SK Taman Ehsan, Kepong, Kuala Lumpur dan Sekolah Rendah Agama Taman Ehsan, Saiful Hadi turut memegang pelbagai jawatan penting termasuk ketua pengawas sehingga dipilih sebagai Tokoh Murid.

Dia juga beberapa kali bertanding di peringkat negeri dalam hafazan serta tilawah anjuran Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ), Kemahiran Amal Islami (KAMIL) dan Makhrajan jQaf ketika di sekolah rendah.

Kecemerlangan itu kini disambung di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Lumpur (SMKAKL).

Perkembangan positif dunia motivasi

“Kehadiran penceramah motivasi yang masih muda perlu dialu-alukan kerana mereka bakal meneruskan kesinambungan dunia motivasi hari ini, kata pakar motivasi terkenal Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

Mengulas kehadiran Saiful Hadi Baharin, 13, sebagai penceramah motivasi, beliau berkata, ia perkembangan positif dalam dunia motivasi.

Bagaimanapun, katanya, kehadiran mereka perlu seiring dengan ilmu dalam bidang yang mahu dikongsi dengan masyarakat.

“Untuk menjadi penceramah motivasi bukan perkara mudah kerana ia bukan saja memerlukan kepandaian atau kepetahan berkata-kata, malah ilmu yang dikongsi juga perlu seiring dengan audien.

“Mereka tidak boleh ‘terjun’ dalam bidang ini dengan hanya berbekalkan satu atau dua kelebihan semata-mata, tapi mesti mempunyai pakej lengkap sebagai seorang penceramah motivasi,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Putra Malaysia berkata, dalam dunia motivasi, penceramah perlu akur bahawa bukan semua tugasan sesuai dengan segenap lapisan masyarakat.

“Secara umumnya, mereka perlu akur kalau ada faktor tolakan kerana keperluan masyarakat terhadap keperluan motivasi tidak sama.

“Kalau penceramah motivasi rasa mereka boleh diterima dalam apa jua situasi, itu sebenarnya tanggapan salah dan boleh mengundang kepincangan.

“Seorang penceramah motivasi yang baik tidak akan menerima semua undangan secara semberono kerana perlu mengkaji sejauh mana kepakarannya agar mereka yang mendengar boleh mendapat manfaat daripada perkongsian itu,” katanya.

Dr Mohammad Shatar berkata, antara kriteria perlu ada pada penceramah motivasi ialah kemahiran berkomunikasi dengan baik.

“Ini bertujuan memberi keyakinan kepada pendengar supaya lebih positif untuk mengikut panduan diberikan penceramah motivasi.

“Pada masa sama, segala perkara yang dikatakan penceramah motivasi mesti disandarkan dengan bukti kukuh atau pengalaman.

“Jika tidak ada asas, ia boleh dilabelkan sebagai manis di mulut semata-mata,” katanya.

Sumber: myMetro