Bukan Letupan Bom Di Amcorp Mall, Tapi 6 Kenderaan Disyaki Sengaja Dibakar


PETALING JAYA – Kebakaran yang memusnahkan enam buah kereta di tempat letak kenderaan Seksyen 52, berhampiran Amcorp Mall di sini, tengah hari Isnin dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din, berkata pihaknya namun masih menunggu hasil siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat sebelum membuat kesimpulan berhubung kebakaran itu.

“Kalau difikirkan secara logik adalah mustahil bagaimana enam buah kereta boleh terbakar dalam satu masa sekiranya berlaku kecuaian manusia atau masalah berkaitan elektrik sehingga berlakunya kebakaran.

“Namun kita akan menjalankan siasatan secara menyeluruh dari semua sudut sebelum mengenal pasti punca utama kejadian ini,” katanya ketika dihubungi BH.

Bagaimanapun, beliau menafikan kebakaran itu ada kaitan dengan dakwaan berlaku letupan bom. Katanya, setakat ini beliau tidak menolak kemungkinan wujud unsur khianat hingga berlakunya kebakaran berkenaan.

Dalam kejadian itu sekitar jam 12.50 tengah hari, dua daripada enam buah kereta iaitu jenis Toyota Vios dan Proton Wira dilaporkan musnah sepenuhnya.

Empat lagi kereta jenis Suzuki Swift dan Proton BLM terbakar 70 peratus, manakala sebuah Proton Gen2 dan kereta jenis Honda terbakar 20 peratus.

Sepasukan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba Jalan Penchala yang tiba pada pukul 1.09 tengah hari dapat memadamkan api dalam masa hampir setengah jam. 

Sumber: Berita Harian