Cemburu Pada Kekasih Bekas Isteri Punca 6 Buah Kereta Terbakar


PETALING JAYA – Setelah segala macam spekulasi mengenai kebakaran mengejut melibatkan enam buah kereta di tempat letak kereta dekat stesen LRT Taman Jaya di sini tengah hari semala, rupa-rupanya puncanya dikatakan ada kaitan dengan kes cerai.

Misteri kejadian berlaku apabila seorang lelaki cuba membakar sebuah kereta milik bekas isterinya yang kebetulan diletakkan di kawasan tempat letak kereta berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din dilaporkan memberitahu, lelaki berkenaan tiba dengan motosikal ketika wanita itu sedang membersihkan bahagian dalam keretanya di situ.

Suspek dipercayai mula ‘naik marah’ lalu melontar masuk sebiji botol berisi minyak petrol ke dalam kereta sasarannya setelah melihat teman lelaki bekas isterinya turut berada di situ.

Wanita berkenaan bagaimana pun bernasib baik apabila sempat melompat keluar dari keretanya sebelum ia terbakar.


Kebakaran pada kereta wanita itu kemudian merebak dengan cepat ke lima buah kereta lain yang diletakkan berdekatan kenderaan mangsa, ujar Mohd. Zani yang dipetik oleh portal berita tempatan.

Lelaki yang disyaki melakukan perbuatan tersebut dilaporkan sempat melarikan diri, namun didapati meninggalkan topi keledar dan seliparnya di tempat kejadian, berhampiran bangunan Amcorp Mall di sini.

Dalam kejadian dramatik sekitar pukul 12.50 tengah hari Isnin itu, dua daripada enam buah kereta masing-masing daripada jenis Toyota Vios dan Proton Wira dilaporkan musnah hangus sepenuhnya.

Baki empat buah lagi kereta jenis Suzuki Swift dan Proton BLM terbakar sebanyak 70 peratus, manakala sebuah Proton Gen2 dan kereta jenis Honda yang belum dikenal pasti modelnya hanya terbakar 20 peratus.


Sepasukan pegawai serta anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Penchala yang tiba pada pukul 1.09 tengah hari dapat memadamkan api hampir setengah jam kemudian.

Sementara itu, pihak polis dilaporkan telah berjaya menahan suspek pada Isnin malam, tetapi tidak didedahkan lebih lanjut di manakah lelaki itu ditangkap. – Agensi