Cuba Larikan Mesin ATM Guna Kancil Digagalkan Polis


PONTIAN – Cubaan dua lelaki melarikan RM 160,000 dari sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dengan menarik mesin terbabit di Pejabat Pos Pekan Benut, menggunakan sebuah kereta perodua kancil gagal selepas mereka ‎dikesan anggota unit peronda berkereta (MPV), kira-kira jam 4.00 pagi tadi. ‎‎

Dua anggota MPV dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian yang berada tidak jauh dari lokasi kejadian segera bergegas‎ ke Pejabat Pos berkenaan setelah mendapat maklumat bahawa alat penggera keselamatan di Pejabat Pos itu berbunyi.

Ketua Polis Daerah Pontian, Suprintendan Zakaria Abdul Rahman berkata sebaik tiba dilokasi kejadian, anggota peronda mendapati dua lelaki sedang menarik ATM tersebut menggunakan kabel yang disambung pada sebuah kereta kancil berwarna putih.

“‎Setelah menyedari kehadiran polis kedua-dua suspek cuba melarikan diri ke arah belakang pejabat pos.

“Suspek yang memandu kereta‎ itu berjaya ditangkap, namun rakannya sempat melarikan diri ke dalam semak di belakang pejabat pos itu,”katanya dalam sidang media di perkarangan Pejabat Pos Benut, pagi tadi. ‎

Jelasnya, siasatan lanjut dan risikan yang dijalankan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah, anggota Balai Polis Benut serta pasukan peronda IPD Pontian berjaya menahan suspek kedua kira-kira jam 7.15 pagi.

Katanya rakan suspek yang berusia 19 tahun itu berjaya ditangkap ketika sedang berpura-pura ingin membeli nasi lemak di Kampung Lama Benut, iaitu 1‎km dari lokasi kejadian.

“Suspek pertama yang ditangkap berusia 21 tahun ‎berkerja sebagai operater pengeluaran di Singapura dan berasal dari Perak. Manakala suspek kedua berusia 19 tahun merupakan orang tempatan yang bekerja di sebuah kedai perabot. ‎

“Hasil siasatan polis, mendapati kedua-dua suspek berkenaan kenal melalui aplikasi sosial “wechat” sejak sebulan yang lalu, selain mereka berdua turut bekerjasama dalam perniagaan online melibatkan perniagaan mata wang,”katanya.

Jelasnya terdapat kesan pecah masuk pada pintu pagar Pejabat Pos yang menempatkan sebuah mesin ATM milik sebuah bank.

“Kedua-dua suspek akan ditahan reman bagi siasatan lanjut dijalankan di bawah seksyen 380/511 kanan keseksaan kerana cubaan mencuri.

“Siasatan polis turut mendapati kedua -dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan ujian air kencing akan dijalankan,”katanya. – Sinar Harian