Desak PM Mansuh Hukuman Khalwat? Ini Jawapan Dari Presiden PAS...

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
KUALA LUMPUR – Umat Islam di negara ini diingatkan supaya lebih berwaspada dengan pihak tertentu di Malaysia yang menolak perkara halal dan haram kononnya di atas konsep kebebasan serta hak asasi manusia.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa golongan itu sebenarnya tidak sedar tentanng kelemahan sifat manusia yang tidak tahu tentang semua perkara.

“Pengetahuan manusia hanya sekadar kemampuan diri dan akalnya sahaja. Masih terlalu banyak perkara mengenai dirinya sendiri dan makhluk disekelilingnya diluar kemampuan akal dan pancaindera.

“Islam membetulkan akidah kepercayaan kepada adanya Tuhan oleh semua manusia mengikut nalurinya, termasuk kalangan manusia asli dirimba dan paling jahil yang jauh sekali tahu membaca dan menulis, lebih jauh lagi daripada mengenal media baru yang sangat dibanggakan kini hasil kemajuan sains dan teknologi ini sehingga ditasbihkan laksana Tuhan yang disyirikkan,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Abdul Hadi berkata, Allah SWT menetapkan sempadan naluri manusia bukan untuk menyekat kebebasan, tetapi mengawal kebebasan supaya tidak terkeluar daripada sempadan yang merosakkan jati diri dan masyarakat serta alam sekeliling.

Justeru, katanya, sangat mengejutkan apabila ada rakyat Malaysia yang sudah lama memeluk Islam mendesak supaya undang-undang terhadap maksiat dihapuskan atas nama hak asasi.

Kumpulan bekas penjawat awam, G25 sebelum ini antara lain mendesak kerajaan menghapuskan undang-undang berkaitan khalwat dengan alasan kononnya ia menjejaskan hak asasi manusia.

Kumpulan G25 sebelum ini dilaporkan antara gerakan NGO yang bekerjasama rapat dengan pertubuhan-pertubuhan anti kerajaan termasuk Suhakam dan Bersih 2.0. –Kedahnews.com