Dewan Rakyat Lulus Usul Persempadanan Semula Di Sarawak

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sedang membentangkan usul Persempadanan Semula Pilihanraya Sarawak di Dewan Rakyat, Rabu, di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Usul Perdana Menteri disokong Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri bagi Sarawak yang menyaksikan pertambahan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.

Usul persempadanan semula itu diluluskan melalui undi belah bahagian dengan 130 anggota Dewan Rakyat menyokong manakala 72 lagi menolak.

Berikutan persempadanan semula itu, Sarawak akan mempunyai 82 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 71 pada masa kini.

Bahagian pilihan raya yang baharu itu adalah N13 Batu Kitang, N17 Stakan, N18 Serembu, N23 Bukit Semuja, N26 Gedong, N40 Kabong, N57 Tellian, N63 Bukit Goram, N66 Murum, N70 Samalaju dan N78 Mulu.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata usul hari ini diterima berikutan undian yang menyokong melebihi separuh daripada 222 Anggota Dewan Rakyat.

“Yang tak setuju 72 orang, yang bersetuju 130 orang. Jadi lebih 112 orang bersetuju, maka usul ini disetujukan,” katanya.

Pagi ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan usul mengenai Laporan Kajian Semula Persempadanan Bahagian Pilihan Raya Negeri Sarawak di Dewan Rakyat, yang menyaksikan cadangan tambahan 11 bahagian bagi Bahagian Pilihan Raya Negeri.

Bagi Bahagian Pilihan Raya Persekutuan, tiada perubahan bilangan dan kekal dengan 31 kawasan Parlimen.

Bagaimanapun, terdapat perubahan sempadan ke atasnya yang disebabkan oleh pembetulan sempadan bahagian pilihan raya serta pembentukan Bahagian Pilihan Raya Negeri yang baharu.

Persidangan DUN Sarawak meluluskan pindaan Undang-undang ke atas Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sarawak berhubung komposisi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 71 kerusi kepada 82 kerusi yang berkuat kuasa pada 5 Dis 2014. – BERNAMA