KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul merujuk Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen susulan pertemuannya dengan Jacel Kiram, anak perempuan Jamalul Kiram III yang mengarahkan pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah pada 2013.
Usul diluluskan di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 105 anggota Dewan Rakyat setuju dan 77 tidak bersetuju.
Usul berkenaan sebelum itu dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.
Azalina dalam ucapan penggulungannya berkata jawatankuasa tersebut adalah platform terbaik untuk Nurul Izzah memberi penjelasan dan gambaran sebenar atas apa yang telah berlaku.
“Jawatankuasa dihakimi anggota Parlimen daripada Barisan Nasional dan pembangkang. Daripada terus dolak-dalik, Lembah Pantai (Nurul Izzah) patut laksanakan hak untuk terus didengari dalam jawatankuasa.
“Contoh pembelaan adalah dengan memberi penjelasan berkaitan perjumpaan dengan Jacel Kiram dan mengemukakan saksi. Ia (penjelasan) lebih baik dilakukan dalam jawatankuasa itu dan bukannya di dalam ini (Dewan Rakyat).
“Lembah Pantai akan diberi peluang dan jawatankuasa ditubuhkan bukanlah semata-mata untuk menghukum beliau,” katanya.
Nurul Izzah, yang juga Naib Presiden PKR, berhadapan kritikan teruk di laman sosial dan beberapa media kerana bergambar dengan Jacel, anak perempuan bekas ketua kumpulan bersenjata Sulu, dalam satu program di Manila pada 9 Nov lepas.
Azalina kemudian menjelaskan jawatankuasa itu akan menyiapkan dan membentangkan laporan tersebut kepada Parlimen untuk tindakan lanjut selepas selesai sesi pendengaran.
Menurutnya, beliau dimaklumkan sehingga kini, 107 laporan polis dibuat dan Nurul Izzah telah pun disiasat berhubung gambar tersebut.
Terdahulu, sewaktu membahaskan usul tersebut, Datuk Raime Unggi (BN-Tenom) berkata tindakan Nurul Izzah itu seolah-olah beliau tidak mempunyai simpati langsung dengan perajurit yang terkorban.
Hasbi Habibollah (BN-Limbang) pula mempersoalkan semangat patriotisme anggota parlimen pembangkang itu selain bimbang akan ada agenda tersembunyi mana-mana pihak yang cuba menganggu-gugat keselamatan negara sekali lagi selepas insiden Lahad Datu.
“Pengorbanan nyawa, harta, wang negara untuk pertahan kedaulatan negara begitu banyak sekali walaupun ‘in a short war’ (Lahad Datu). Kesan perang itu, kita belanja lagi dengan tubuhkan ESSCOM (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah).
“Kita takut ini (perjumpaan dengan Jacel Kiram) boleh timbulkan tafsiran dan ada agenda tersembunyi. Kita tidak boleh halang tafsiran. Malah kita kena belajar daripada sejarah dan Yang Berhormat (Nurul Izzah) perlu lebih sensitif,” katanya.
Dalam sesi perbahasan itu juga, R.Sivarasa (PKR-Subang) berkata pembangkang menyifatkan usul tersebut tidak patut dibahaskan kerana ia bukan isu dalam Malaysia selain tidak menghormati kesucian Dewan Rakyat.
Sementara itu, Nurul Izzah dalam perbahasannya pula berkata Jacel antara tetamu hadir dalam program yang beliau sertai dan tindakan bergambar hanya kerana menyatakan sokongan program yang dianjurkan.
“Saya tidak pernah mohon bertemu dengan dia mahu pun merancang jumpa dia. Saya kesal dan mohon maaf terutama kepada semua keluarga tragedi Lahad Datu dan rakyat Malaysia yang terkesan dengan gambar itu,” katanya. – BERNAMA