Di Restoran Pun Sudah Ada Mula Tawarkan GRO Di Selangor?

Gambar Hiasan
SERDANG  - Polis menahan 16 GRO warga Vietnam dalam dua serbuan yang dijalankan serentak di Serdang Perdana, Sri Kembangan, di sini, kira-kira 10 malam semalam.

Ketua Penolong Pengarah Unit Tindakan Khas Jenayah Terancang, Skuad Taktikal, Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (STAGG) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata serbuan dilakukan membabitkan premis restoran dan pusat hiburan.

Katanya, kesemua GRO gagal menunjukkan dokumen perjalanan ketika serbuan dilakukan.

"Serbuan pertama dilakukan membabitkan restoran dan tujuh GRO warga Vietnam ditahan bersama sembilan lelaki yang dipercayai pengurus serta pekerja premis terbabit.

"Serbuan kedua pula adalah membabitkan pusat hiburan di kawasan yang sama dan kita menahan sembilan wanita GRO Vietnam bersama seorang lelaki yang dipercayai penyelia premis berkenaan.

"Siasatan awal mendapati dua premis terbabit menawarkan perkhidmatan GRO warga Vietnam untuk menemani pelanggan minum serta berhibur dan boleh dibawa untuk mengadakan hubungan seks di bilik berdekatan yang disediakan dengan harga RM150," katanya.

Khairi berkata, hasil pemeriksaan mendapati pusat hiburan terbabit tidak mempunyai lesen.

Katanya, pihaknya turut merampas RM2,500 tunai, buku resit akhir urusniaga dan buku rekod pekerja serta salinan lesen perniagan di dua premis terbabit.

"Kesemua mereka dibawa ke di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 55B dan Seksyen 56(1) Akta Imigresen, Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen, serta Enakmen Hiburan Negeri Selangor kerana tiada lesen hiburan," katanya.

Sumber: myMetro