Dilontar Kepala Babi, Masjid Di Philadelphia Balas Dengan Jamuan


PHILADELPHIA - Masjid Al-Aqsa yang bertempat di utara Philadelphia, Amerika Syarikat pada minggu lalu digemparkan dengan kejadian dilakukan pihak tidak bertanggung jawab yang melontar kepala babi di pintu masuk masjid tersebut.

Rakaman Video Litar Tertutup (CCTV) menunjukkan kepala babi tersebut telah dibaling dari sebuah trak yang berwarna putih.

Insiden tersebut bagaimanapun telah berjaya dirakam oleh rakaman video litar tertutup (CCTV) di masjid berkenaan.

Masjid yang turut berfungsi sebagai bangunan Persatuan Islam Al-Aqsa itu mendapat pelbagai reaksi positif daripada pelbagai pihak sebagai tanda sokongan termasuk melalui emel, kiriman bunga dan pemberian makanan setelah insiden ‘hitam’ itu mendapat liputan meluas media di seluruh dunia.

Justeru sebagai tanda terima kasih di atas sokongan dan rasa simpati yang diterima, pihak masjid Al-Aqsa mengadakan jamuan makan untuk masyarakat tempatan.

Memetik laporan Awani, difahamkan bahawa majlis yang diadakan di ruang parkir itu dihadiri pelbagai lapisan masyarakat berbilang bangsa dan agama. Kesemua yang hadir turut menyatakan sokongan kepada pihak masjid berhubung insiden yang berlaku itu.

Rakaman CCTV menunjukkan kepala babi dibaling dari sebuah trak berwarna putih.

“Terima kasih yang istimewa atas sokongan, kerjasama dan kasih sayang anda semua.

“Kami menyambut anda semua dengan aman dan keamananlah matlamat, harapan, dan keinginan kami,” ujar Imam Mohamed Shehata dalam bahasa Arab yang kemudiannya diterjemahkan ke bahasa Inggeris.

Ratusan jiran tetangga, agamawan, keluarga, dan orang awam memenuhi ruang parkir masjid di Germantown Avenue dan Jefferson Street untuk acara tengah hari itu.

Apa yang menarik kesemua tetamu yang hadir dan dihidangkan dengan sosej, burger dan falafel itu hadir dengan memakai tanda nama bertulis nama masing-masing dalam bahasa Arab.

Selain itu, organisasi seperti Council on American Islamic Relations (CAIR) turut membuka kaunter penerangan untuk menyebarkan informasi tepat tentang Islam.

Menurut laporan, serangan terbaharu itu merupakan serangan yang ke-63 kali setakat tahun ini melibatkan masjid-masjid dan pusat Islam di AS. Ianya adalah jumlah serangan tertinggi sejak 2009. -Kedahnews.com