Dinding 4 Blok Sekolah Di Sitiawan "Dihiasi" Semburan Cat "Mencarut"


SITIAWAN – Dinding di empat blok bangunan sebuah sekolah menengah di sini diconteng dengan pelbagai kata-kata kesat menggunakan cat sembur, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata kejadian itu dipercayai dilakukan individu tidak bertanggungjawab pada awal pagi Sabtu, sebelum disedari pengawal keselamatan sekolah berkenaan kira-kira 3 pagi hari yang sama.

“Pengawal keselamatan yang sedang membuat rondaan di sekolah berkenaan terkejut melihat dinding bangunan sekolah itu diconteng, yang mana kebanyakannya dalam Bahasa Cina.

“Dia juga tidak nampak sesiapa masuk ke kawasan sekolah itu. Suspek menconteng di kebanyakan tempat termasuk dalam tandas, meja kantin dan lantai sekolah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, Tengku Mohd Zailan berkata harta benda dan kenderaan yang berada di kawasan sekolah berkenaan tidak hilang.

Beliau berkata polis telah menahan beberapa suspek yang disyaki melakukan perbuatan tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Dr Mohd Amin Zakaria berkata beliau belum menerima sebarang laporan mengenai kejadian itu, namun kesal jika ia benar berlaku.

Beliau berkata perbuatan menconteng menggunakan cat sembur merupakan perbuatan yang tidak berdisiplin dan ia satu daripada sindrom vandalisme.

“Jika hal ini terjadi akibat salah faham, individu berkenaan sepatutnya berunding dengan pihak sekolah, bukan melakukan perbuatan seperti ini.

“Pelbagai cara boleh dilakukan mengikut saluran yang betul sebelum mengambil tindakan sedemikian, malah pintu rundingan sentiasa terbuka untuk berbincang,” katanya.

Mohd Amin berkata pihaknya akan menjalankan siasatan untuk memastikan kebenaran dan motif kejadian itu. – BERNAMA