Gambar Hiasan |
Saya sudah berkahwin hampir 12 tahun dan baru-baru ini diceraikan suami sesudah bergaduh hampir dua tahun. Kami bergaduh disebabkan suami menjalin hubungan dengan wanita lain berstatus isteri orang.
Saya terkilan kerana dalam pilihan wanita dia ingin main kayu tiga kenapa perlu cari yang sudah berkahwin? Saya tegur perbuatannya kurang manis serta menjejaskan maruah saya selaku isterinya. Tetapi saya ditampar serta diterajang kerana menasihati perbuatannya.
Sebelum berkahwin bukan main alim dan sering menasihati agar menghormati serta menjaga maruahnya. Kini cakapnya tidak serupa bikin apabila dia pula menimbulkan masalah. Kini kami di peringkat tuntutan termasuk nafkah serta hak penjagaan anak.
Saya tertekan dan suami mengancam untuk membalas dendam dengan tindakan saya meninggalkannya. Saya jadi keliru sama ada dia bermasalah atau saya? Sedangkan dia yang timbulkan masalah dalam perkahwinan kami. Saya benar-benar tertekan Dang Setia.
MERA, Subang Jaya, Selangor
Jawapan:
Jangan harapkan isteri semulia Fatimah Az-Zahrah, andai peribadi tidak sehebat Saidina Ali. Itu ungkapan Dang Setia rasa wajar puan sandarkan pada suami yang mementingkan diri.
Malah melihat tindakan suami puan menurut kehendak nafsu tanpa memikirkan kehidupan sebelum ini susah senang bersama, membuat Dang Setia turut berasa kesal dengan sikap diperlihatkan sang suami.
Lebih memalukan, ‘kekasih gelap’ suami ialah isteri orang. Sewajarnya suami tahu benda halal mahupun haram. Pada Dang Setia tindakan puan terus patuh serta taat dengan suami sedemikian bukan perkara yang wajar. Dia sepatutnya menjadi pelindung kepada isteri serta anak bertindak sebaliknya.
Justeru satu tindakan wajar apabila puan bertindak mendapatkan hak sepatutnya sebaik berpisah. Jangan sesekali tunduk, malah dapatkan bantuan sepatutnya termasuk daripada pihak berkenaan mahupun badan sukarela membela nasib puan selaku ibu tunggal.
Fikirkan masa depan puan serta anak sudah terabai sejak sikapnya mengejar isteri orang. Selain itu pohon sokongan keluarga agar puan dapat harungi kehidupan mendatang.
Sumber: myMetro