Donald Trump Digelar Sebagai Calon Presiden AS Yang "Huru Hara"

Donald Trump
LAS VEGAS - “Donald Trump merupakan calon presiden yang huru hara,” begitulah luahan Gabenor Florida, Jeb Bush semasa debat presiden Republikan kelima di Las Vegas, semalam.

Trump yang dikecam kerana rasis, tetap mempertahankan kempen provokatifnya bagi mengharamkan umat Islam memasuki Amerika Syarikat dalam debat presiden malam semalam.

Bagaimanapun, rancangan Trump itu dianggap tidak serius oleh pesaingnya yang percayakan pendekatan berbeza untuk mencegah agenda serangan ke atas AS.

Trump sebelum ini dengan lantang mengeluarkan cadangan melarang umat Islam menjejakkan kaki ke negara berkenaan bagi tujuan kesejahteraan dan keselamatan negaranya.

Disebabkan cadangan itu juga, Senator Florida, Marco Rubio berkata, cadangan Trump itu sudah semestinya tidak akan berlaku.


Isu pengharaman yang diusulkan Trump ini telah mendapat kritikan hebat dari seluruh dunia.

Beliau bagaimanapun mempertahankan kenyataannya itu dengan berkata, “Kami bukan bercakap mengenai persaingan, sebaliknya berbicara mengenai keselamatan. Kami tidak bercakap mengenai agama, sebaliknya bercakap mengenai keselamatan.”

Memetik laporan media, perbahasan semalam merupakan sesi yang pertama bagi Parti Republikan sejak serangan pengeboman di Paris dan siri tembakan rambang di San Bernardino, California.

Beberapa jam sebelum sesi perbahasan dimulakan, pihak berkuasa Los Angeles telah menutup semua sekolah selepas menerima emel ancaman dan serangan namun ianya telah disahkan sebagai satu penipuan oleh pihak FBI. -Kedahnews.com