Dua Lelaki Menyamar Polis Diberkas Lepas Samun Penjual Ikan


Dua suspek lelaki tempatan yang menyamar sebagai anggota polis ditahan selepas disyaki menyamun seorang lelaki di hentian sebelah Petaling Jaya di Lebuhraya Damansara-Puchong di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa yang bekerja sebagai penjual ikan, 40, itu sedang berehat di kawasan hentian itu apabila didatangi dua suspek yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Superintendan Lee Swee Meng berkata, kedua-dua suspek berumur 25 dan 29 tahun mengarahkan mangsa untuk membuka pintu kenderaannya sebelum mengambil sebuah beg mengandungi barangan peribadi mangsa.

"Unit peronda polis yang kebetulan meronda kawasan itu berasa curiga dengan tindakan kedua-dua suspek ini lalu menahan mereka," katanya di sini, semalam.

Lee berkata hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek bekerja sebagai penunda kenderaan dan mempunyai rekod jenayah lampau, antaranya kes samun dan curi kereta.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana menyamun secara berkawan manakala suspek direman tiga hari bermula semalam hingga Rabu ini. - Bernama