E-Shisha, VAPE Makin Menular Di Kalangan Murid Sekolah Rendah -CAP

Mohamed Idris menunjukkan vape dan shisha yang dirampas daripada pelajar dan murid sekolah.
GEORGE TOWN – Aktiviti seorang murid perempuan menjual rokok elektronik berperisa jenis pakai buang yang dipanggil e-shisha atau pen shisha kepada rakan-rakan lelaki sekolahnya terbongkar.

Menurut Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), budak perempuan Tahun Empat berkenaan ditangkap selepas dikesan oleh seorang guru di Tanjung Tokong sebelum sesi cuti sekolah akhir bulan lalu.

Pegawai pendidikan CAP, N.V. Subbarow berkata, seorang guru dari sekolah itu memberitahu persatuan mengenai pen shisha yang berukuran 12 sentimeter panjang dan berharga RM15 setiap satu dengan 500 kali hembusan.

Beliau berkata, CAP malah menerima aduan sama daripada 15 buah sekolah di Pulau Pinang di mana pelajar dan murid ditangkap guru kerana menghisap vape atau e-shisha.

“Apa yang lebih mengejutkan kami, 10 daripada mereka adalah murid sekolah rendah,” katanya pada sidang media di pejabat CAP di sini pada Jumaat.

Subbarow mendakwa, gerai yang menjual pen shisha boleh didapati di depan beberapa bua sekolah di Pulau Pinang, terutama di kawasan luar bandar.

“Biasanya gerai-gerai ini tidak hanya menjual shisha tetapi juga minuman dan makanan ringan yang disukai kanak-kanak.

“Apabila saya terlihat sebuah gerai dekat sekolah rendah di Bayan Baru jual Shisha, saya cuba untuk dapat barangan daripada peniaga itu tetapi tidak dipedulikan. Mereka hanya jual kepada kanak-kanak,” dakwanya.


Subbarow merasakan peniaga berkenaan tidak mahu menjual pen shisha kepada orang dewasa kerana mereka mengesyaki sesuatu yang mencurigakan sekiranya orang dewasa datang mahu membeli barangan tersebut.

Presiden CAP, S.M. Mohamed Idris berkata, beberapa guru memberitahu CAP bahawa segelintir pelajar di Pulau Pinang sanggup membuat kerja sampingan semata-mata mahu membeli rokok, pen shisha atau vape.

Katanya, sebahagian yang lain pula didapati terpaksa menipu ibu bapa mereka sendiri untuk mendapatkan wang bagi membeli barang berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya mengeluarkan larangan terhadap rokok elektronik, vape dan pen shisha sebelum ia menjadi ancaman kepada kesejahteraan negara.

Sumber:  mStar