Meneruskan siri pengakuan mahasiswi di universiti tempatan yang terjebak dengan fahaman Syiah, kami menyiarkan rakaman perbualan berkenaan ketaksuban pengikut fahaman sesat itu terhadap "Imam 12" yang menurut mereka sebagai "maksum".
Menurut siswi berkenaan, mereka berpandangan bahawa imam-imam tersebut adalah "suci" dari sebarang dosa kononnya atas alasan mereka yang membawa ajaran Islam itu pastinya bersifat sedemikian.
"Bagi Syiah Imamiah ni kita percaya yang 12 imam ni maksum.
"Seperti yang kefahaman saya, orang yang membawa agama ni mestilah suci sebab dalam surah Al-Maidah pun pun (Allah) berkata orang yang membawa agama ni bersifat suci.. tidak bersekutu terhadap Allah," katanya.
Bagaimanapun, setelah diminta Mursyidul Am Pertubuhan Kebajikan Asatizah Kebangsaan (PASAK), Ustaz Abdullah Din, untuk menyatakan ayat dari surah berkenaan yang merujuk pada dakwaan itu, siswi berkenaan tidak dapat mengemukakan ayat yang diminta.
Puak yang mengikuti ajaran yang disebut sebagai Syi'ah Imamiyah percaya bahawa mereka mempunyai 12 orang pemimpin yang digelar sebagai "Imam 12".
Imam-imam berkenaan adalah seperti sahabat Rasulullah SAW yang mereka dewa-dewakan, Imam Ali bin Abu Thalib, cucu Rasulullah SAW yang merujuk kepada Saidina Hasan dan Husain, Ali bin Husain, Muhammad Al-Baqir dan Jaafar As-Sadiq.
Selain itu, Musa Al-Kadzim, Ali Ar-Ridha, Muhammad Al-Jawad, Ali Al-Hadi, Hasan Al-Asykari dan Imam Mahdi turut tersenarai sebagai "Imam 12" mereka.
Menurut Ustaz Abdullah Din, semua kedua-dua belas "Imam Syiah" berkenaan sebenarnya adalah berfahaman Sunnah wal Jama'ah, namun sengaja "disyi'ahkan" bagi memenuhi selera penyelewengan akidah puak tersebut.
PASAK merupakan pertubuhan berdaftar yang baru ditubuhkan secara khusus untuk bertindak mencegah dan menangani fahaman Syi'ah yang kian mengancam akidah umat Islam di seluruh negara.
Sehingga kini, PASAK giat aktif dalam aktiviti-aktiviti di seluruh negara khususnya di Kedah, Selangor dan Perak yang dikatakan menjadi lokasi pilihan bertempatnya "marjaq" utama fahaman yang difatwakan sesat tersebut. -Kedahnews.com
Posted by Kedahnews.com on Monday, December 28, 2015