Fokus Perkukuh Keselamatan Sabah, Sarawak - Panglima Tentera Darat

Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor memeriksa Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Pengambilan Lelaki 178/2015 dan Wanita 40/2015 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) semalam. - Foto BERNAMA
PORT DICKSON – Tentera darat fokus untuk memperkukuhkan lagi kawalan keselamatan di Sabah dan Sarawak selaras dengan strategi Kementerian Pertahanan, kata Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Beliau berkata sehubungan itu tentera darat akan mewujudkan pasukan-pasukan tambahan secara tetap di kedua-dua negeri.

“Ini adalah sebagai pelengkap kepada keselamatan di sempadan bersama dengan negara-negara jiran kerana perbatasan di sana agak panjang dan luas.

“Manakala di sempadan Malaysia-Thailand pula, kami juga telah membuat kajian untuk pelaksanaan operasi melalui pangkalan operasi hadapan bagi membendung aktiviti haram lintas sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perbarisan tamat latihan 1,633 orang perajurit muda termasuk 38 perajurit wanita di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi dan Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Suhaimi Mohd Zuki.

Raja Mohamed Affandi berkata tentera darat juga merancang untuk mewujudkan satu lagi briged sempadan dan ia akan diumumkan pada masa yang sesuai.

Mengenai kalangan anggota tentera yang mungkin terlibat dengan kumpulan militan ISIS, beliau berkata bahagian perisikan pertahanan sentiasa membuat pemantauan dalaman untuk mengenal pasti anggota tentera yang terbabit dengan gerakan itu.

“Kami mempunyai kaedah dalaman untuk mengenal pasti mereka yang terlibat. Kami tidak berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana anggota tentera yang didapati bersalah,” katanya.

Pada majlis itu, perajurit muda, Mohamad Fais Osman, 22, dari Kedah dan perajurit muda, Nur Akmal Azira Mohd Kamal, 22, dari Sabah, masing-masing dinobatkan sebagai perajurit muda lelaki keseluruhan terbaik dan perajurit muda wanita terbaik. – BERNAMA