Gabenor Akui Jakarta Bukan Bandar Raya Selamat, Jenayah Masih Tinggi

Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama
JAKARTA - Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama kelmarin mengakui bandar raya berkenaan bukannya tempat yang selamat untuk penduduknya kerana kadar jenayahnya yang masih tinggi.

“Jakarta masih lagi belum menjadi bandar yang selamat,” katanya.

Bagaimanapun, Basuki atau lebih dikenali sebagai Ahok menegaskan pihaknya membuat beberapa usaha bagi menyediakan perlindungan dan keselamatan kepada semua penduduk.

“Antara usaha kerajaan termasuklah memasang kamera pengawasan keselamatan di beberapa lokasi di seluruh bandar.

“Kami juga bekerjasama dengan polis dan tentera untuk memberikan perlindungan kepada penduduk,” katanya.

Ahok juga menggesa penduduk Jakarta menyertai aplikasi bandar pintar di telefon bimbit dikenali sebagai Qlue yang baru dilancarkan pentadbirannya.

“Melalui Qlue anda boleh membuat laporan sekiranya merasakan sesuatu kawasan itu mempunyai kadar jenayah yang tinggi.

“Sila buat laporan supaya pemimpin tempatan boleh mengawasi kawasan ini dan mengambil tindakan sewajarnya,” jelasnya.

Tahap keselamatan di bandar itu mula dipersoalkan selepas seorang wanita dirompak dan dirogol seorang lelaki di sebuah jejantas di Lebak Bulus, Jakarta Selatan pada minggu lalu.

Wanita itu dilaporkan berjalan seorang diri di jejantas yang sunyi pada 21 Oktober lalu apabila dia dipukul seorang lelaki sebelum dirogol.

Polis berjaya mengesan lelaki itu pada Jumaat lalu dan menembak mati suspek selepas berlaku pergelutan dengan anggota polis yang cuba menahannya. -Agensi