Gagal Bayar Saman Khalid Samad, Barang-Barang Rumah Hamidah Disita


IPOH – Mahkamah Tinggi Ipoh di sini semalam, menyita barangan dalam rumah milik bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman.

Ia berikutan kegagalannya melunaskan bayaran ganti rugi RM200,000 dalam satu kes saman fitnah membabitkan dirinya dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Mengesahkan tindakan itu, Hamidah ketika dihubungi media enggan mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan.

“Betul, saya mahu bertenang dahulu,” katanya yang dipetik dari Berita Harian.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 27 April lalu memerintahkan Hamidah membayar jumlah berkenaan kepada Khalid atas penerbitan artikel bertajuk `Umat Islam Perlu Bersatu’ dalam blognya sekitar Januari 2010.

Dalam artikel berkenaan, Hamidah didakwa memuatkan gambar teknik imej bertindih Khalid berpakaian ala paderi.

Pernyataan tuntutan Khalid yang difailkan pada 23 Disember 2011 mendakwa gambar itu menunjukkan seolah-olah beliau seperti paderi dan seorang yang murtad. -Kedahnews.com