Gagal Jalani Proses Jabatan Imigresen, MAS Diberi Amaran Pertama

Gambar Hiasan
Kerana gagal memastikan kesemua penumpang menjalani proses pemeriksaan Jabatan Imigresen baru-baru ini, syarikat penerbangan Malaysia Airlines Berhad telah diberi amaran pertama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Kejadian berlaku membabitkan penumpang pesawat MH741 yang berlepas dari Myanmar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Pesawat ini dilaporkan terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi berikutan masalah cuaca yang buruk.

Timbalan Menteri Dalam Negeri 1, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, amaran itu merupakan satu peringatan kepada syarikat penerbangan berkenaan agar pihak mereka mematuhi peraturan Imigresen di masa akan datang.

“Saya difahamkan pesawat MH741 yang membawa 135 penumpang terpaksa mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi kerana masalah cuaca buruk tetapi hanya 32 penumpang termasuk lima kru diperiksa Imigresen.

“Selebihnya 103 orang ditukarkan menaiki pesawat lain tanpa menjalani sebarang pemeriksaan Imigresen tiba di KLIA sebagai penumpang domestik.

“Saya memberi amaran kepada semua syarikat penerbangan yang membawa penumpang antarabangsa supaya mematuhi undang-undang negara kerana ini juga membabitkan isu keselamatan,”katanya yang dipetik dari myMetro.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Asean: Pengenalpastian Mangsa Pemerdagangan Orang dan Jenis Eksploitasi Yang Berkaitan di sini, hari ini. – Kedahnews.com