SEORANG jurugambar Claudio Montesano Casillas yang sedang mengikuti rombongan 'Old Dhaka' telah mendedahkan penemuan mengejutkan mengenai sebuah kilang yang dipenuhi dengan pekerja kanak-kanak di Bangladesh.
Kanak-kanak ini dipaksa bekerja di kilang pembuat pakaian untuk pasaran Barat dengan hanya memperoleh £6.50 (RM 41.60) sebulan.
Disebabkan lambakan kerja, kanak-kanak ini makan, mandi dan tidur di dalam kilang dengan diberikan masa bercuti hanya sehari untuk seminggu.
Dianggarkan 7,000 kilang di Bangladesh tidak mempunyai sistem kawalan keselamatan.
Gambar yang dirakam oleh Casillas menunjukkan kilang tersebut tidak mempunyai laluan kecemasan dan alat memadam kebakaran atau alat pemadam api.
Bangunan itu berdekatan dengan kilang Rana Plaza yang musnah terbakar pada 2013 dengan mengorbankan seramai 1,100 orang.
Gambar yang diambil ini menunjukkan kanak-kanak dipaksa bekerja dengan hanya menjahit label pakaian.
Kedai berdaftar mempunyai tahap keselamatan yang baik, namun sebaliknya bagi kilang yang tidak berdaftar.
Bukan hanya menghasilkan pakaian untuk pasaran tempatan dan di India, mereka juga membekalkan pakaian kepada jenama antarabangsa dan terkenal dunia melalui sub-kontrak yang mana sukar untuk syarikat menjejaki dari mana pakaian itu.
Casillas juga membongkar rutin harian kanak-kanak yang bekerja di sana.
Kanak-kanak ini tidak bersekolah dan ditugaskan untuk menjahit manik, mewarnakan fabrik dan juga membasuh mesin.
Kilang ini mempunyai sebuah bilik yang dilengkapi dengan 15 mesin jahit namun tidak ada laluan kecemasan.
"Pekerja-pekerja ini memulakan hari mereka dari pukul 6 pagi sehingga 6 petang dengan hanya gaji yang sedikit. Mereka juga tidur dalam kilang dan juga menyewa bilik di sebelah kilang tersebut.
"Mereka datang dari kampung ke bandar untuk mencari pekerjaan demi mencari kehidupan yang lebih baik," katanya.
Menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), kira-kira sejuta kanak-kanak berumur dari 10 hingga 14 tahun bekerja sebagai buruh kanak-kanak di Bangladesh dan itu adalah angka yang tertinggi dicatatkan.
Bangladesh adalah pengeksport kedua terbesar dalam industri pakaian selepas China.
Buruh kanak-kanak dan dewasa ini memperoleh pendapatan £6.50 (RM 41.60) sebulan dan mereka menjangkakan £16 ( RM 102.39).
Sumber: mStar