Graduan Perubatan Perlu Kemuka Surat Tawaran Bekerja Untuk Jalani Latihan

Gambar Hiasan
PUTRAJAYA - Graduan perubatan perlu mengemukakan surat tawaran bagi jawatan Pegawai Perubatan Siswazah (gred UD 41) untuk mendapatkan sijil pendaftaran sementara untuk menjalani latihan siswazah di hospital kerajaan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Perubatan Malaysia (MPM) berkata perkara itu diputuskan MPM memandangkan ketika ini terdapat graduan perubatan yang gagal menyempurnakan latihan dalam tempoh ditetapkan kerana pelbagai faktor termasuk kompetensi dan masalah kesihatan.

Katanya, mereka terpaksa memanjangkan tempoh latihan sehingga menyebabkan graduan perubatan lain terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapat peluang menjalani latihan siswazah.

"Pemanjangan tempoh latihan siswazah telah menyebabkan backlog pegawai perubatan siswazah yang sedang menjalani latihan di hospital dan menyebabkan kemampuan untuk mengisi kekosongan jawatan gred UD 41 bagi tujuan latihan menjadi amat terhad," katanya dalam kenyataan di sini Selasa.

Menurutnya proses pengeluaran sijil pendaftaran sementara kepada graduan perubatan hanya akan dikeluarkan kepada mereka yang dapat menunjukkan bukti bahawa mereka telah dipilih dan ditawarkan untuk bekerja sebagai Pegawai Perubatan Siswazah (Gred UD 41).

Sehubungan dengan itu, Dr Noor Hisham berkata tatacara pengurusan permohonan sijil itu dikaji semula dengan semua permohonan yang layak akan diberikan surat makluman bahawa mereka layak dipertimbangkan untuk pendaftaran sementara.

"Penyelarasan proses pengeluaran Sijil Pendaftaran Sementara kepada graduan perubatan dilakukan bagi tujuan mengemas kini proses selain memastikan pematuhan kepada Akta Perubatan 1971," katanya.

Ketika ini semua graduan perubatan perlu menjalani temu duga yang dijalankan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam bagi mendapatkan pekerjaan sebagai Pegawai Perubatan Siswazah (gred UD 41). - BERNAMA