TAJ Mahal di India. |
BERMULA dari satu tugasan membina arca di sekolah, kini Stanley Hayes Munro dari New York Amerika Syarikat (AS) diiktiraf sebagai pembuat model bangunan dari pencungkil gigi terbaik dunia.
Munro, 45, juga memegang rekod membina model bangunan menggunakan pencungkil gigi paling tinggi dunia.
Bekas pereka rumah hantu itu membina model bangunan Burj Kahlifa setinggi hampir lima meter.
Munro berkata, minatnya membina model bangunan dari pencungkil gigi bermula ketika di sekolah apabila gurunya memintanya membina arca yang dapat menampung berat sebiji telur.
“Saya mula membina struktur pencungkil gigi pertama ketika berada dalam kelas seni di sekolah rendah.
“Tugasan yang diberikan ketika itu ialah membina sesuatu setinggi 25 sentimeter dan boleh menampung berat sebiji telur.
“Saya berjaya membina binaan berkenaan dan sejak itu saya terus tertarik dengan seni ini,” katanya.
MODEL bandar Vatican yang turut dibina Munro. |
Ujarnya, sejak itu dia mula membina beberapa model bangunan terkenal di dunia dengan menggunakan pencungkil gigi.
Antara bangunan yang dijadikan inspirasinya termasuklah menara condong Pisa, Menara Eifel dan Bangunan Empire State.
“Ramai yang bertanya adakah binaan ini pernah runtuh ketika saya membinanya.
“Sebenarnya, binaan ini lebih kukuh berbanding apa yang orang fikirkan,” jelasnya.
MODEL Rumah Putih di Amerika Syarikat. |
Tambahnya, antara bangunan yang paling sukar dibina adalah Burj Khalifa kerana mempunyai reka bentuk unik.
“Cabaran terbesar Burj Khalifa bukan pada ketinggiannya, tetapi pada bentuk dinding luar.
“Dinding bangunan ini tiada permukaan rata dan saya terpaksa membinanya secara berasingan di setiap aras,” katanya.
Sumber: myMetro