Haiza |
Pentas Gegarvaganza sudah terbukti boleh menaikkan kembali nama penyanyi yang sudah lama tidak bergiat aktif dalam bidang seni nyanyian.
Antara nama yang kembali mengamit perhatian peminat dalam Gegarvaganza 2 (GV2) ialah Siti Nordiana, Faradhiya dan Haiza.
Persembahan bertenaga dalam program itu ternyata berjaya membuka mata ramai orang di luar sana yang sebelum ini tidak berapa perasan kehebatan vokal yang dimiliki mereka.
Bukan sahaja berjaya menarik kembali perhatian peminat, rupa-rupanya ada seorang artis lelaki yang sudah berkahwin juga dikatakan cuba ‘mengorat’ Haiza apabila namanya kini semakin meningkat naik.
Buat anda yang kurang mengenali sisi peribadi figura genit ini, Haiza sebenarnya sudah berumahtangga dan mempunyai seorang cahaya mata.
Memetik kenyataannya dalam Mangga Online baru-baru ini, Haiza berkata, “Peminat yang mungkin tidak kenal saya sebelum ini menghantar pesanan dan mereka sangkakan saya belum berkahwin. Malah ada yang kata saya seorang janda kerana mereka tidak tahu siapa suami saya.
“Ada juga seorang artis lelaki yang sudah lama tidak berhubung dengan saya, tiba-tiba menghantar mesej. Katanya peminat saya. Dia seorang artis lelaki yang sudah pun berkahwin.
“Selain itu, ada juga rakan-rakan yang selama ini memandang rendah sudah mula melihat kemampuan sebenar saya,” katanya.
Walaupun karier seninya kini berada di puncak, namun Haiza tidak akan sesekali mempersia-siakan kepercayaan yang diberikan suaminya, Norhanapfe Omar.
Semoga Haiza terus sukses dalam kerjaya seninya dan kembali mengegarkan industri seni suara selepas berakhirnya GV2 nanti. -Kedahnews.com