Hamas Di Palestin Tidak Pernah Iktiraf Militan Ekstremis Daesh


KUALA LUMPUR – Hamas tidak pernah merestui kumpulan militan Daesh, juga dikenali sebagai IS, serta tindakan ekstremisnya, kata ketua Biro Politik (Politburo) pergerakan pejuang Palestin itu, Khalid Meshaal.

Sambil meminta agar Hamas tidak pula disamakan langsung dengan ekstremis Daesh, beliau berkata perjuangan rakyat Palestin jauh berbeza sepenuhnya daripada agenda songsang kumpulan pelampau Asia Barat tersebut.

“Ada perbezaan besar antara keganasan dengan perjuangan. Keganasan yang melibatkan pembunuhan secara buta tuli, tanpa mengira keimanan seseorang, adalah berbeza sepenuhnya dengan perjuangan suci di Palestin.

“Keganasan itu perlu dikutuk dan kami tidak terima. Kami anggap perjuangan di tanah air sebagai hak semula jadi rakyat kami,” katanya menyampaikan ceramah dalam siri syarahan Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia.

Ceramah itu dianjurkan sebagai acara sampingan sempena kunjungan Khalid ke Malaysia untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2015 dari 8 hingga 12 Disember di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini pada Jumaat.


Mengulas tentang seruan agar proses damai antara Palestin dan Israel disambung semula, pemimpin Hamas itu berkata rundingan mengenai perkara itu, yang diadakan sejak beberapa dekad lepas, tidak mempunyai makna.

Ini kerana tiada keseimbangan kuasa antara dua pihak terllibat (Israel dan Palestin). Bercakap melalui jurubahasa, beliau menegaskan bahawa tidak terdapat kesungguhan politik dalam kalangan kuasa besar.

Justeru rakyat Palestin ujar Khalid, langsung tidak mempunyai pilihan, selain terpaksa bergantung harap pada kudrat diri mereka sendiri untuk mempertahankan hak mereka daripada dirampas zalim oleh rejim Zionis Israel.

Sambil merujuk kejayaan kuasa besar menamatkan sistem Apartheid di Afrika Selatan, beliau berkata pihak itu boleh mengenakan tekanan secara politik dan ketenteraan terhadap Israel bagi menamatkan pendudukannya.

“Jika opsyen ini tidak berhasil, opsyen kedua, juga satu-satunya opsyen yang ada bagi kami, ialah meneruskan perjuangan dan penentangan kami serta melipatgandakannya dengan bantuan seluruh umat Islam,” katanya.


Pada Khamis, ketika berucap di hadapan Presiden Israel, Reuven Rivlin yang melawat Amerika Syarikat, Presiden Barack Obama menyeru agar usaha terus dilakukan bagi menjayakan proses damai antara Israel dan Palestin.

Obama dipetik media antarabangsa sebagai berkata, Israel dan Palestin kini perlu mencari mekanisme yang membolehkan dialog diadakan semula sehingga membawa kepada tercapainya perdamaian berkekalan.

Menyentuh sokongan badan antarabangsa terhadap perjuangan Palestin seperti Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu, Khalid berkata Palestin tidak boleh bergantung sepenuhnya pada pertubuhan dunia seperti itu.

“Kami bergantung pada usaha mengembalikan hak untuk berjuang dengan sendiri kerana inilah cara betul. Di samping itu, kami minta semua badan antarabangsa dan serantau sokong perjuangan rakyat Palestin,” katanya.

Beliau berkata, ini kerana perjuangan rakyat Palestin mempunyai dimensi Arab dan Islam serta kemanusiaan antarabangsa sekali gus, selain dimensi dalaman berkaitan perjuangan rakyat Palestin.

“Bagaimanapun, kami tidak pernah putus berjuang. Kami tidak menunggu pihak lain. Kami melangkah ke hadapan sambil berharap orang lain akan menyokong kami,” katanya. – Agensi