Harga Mahal Di Langkawi: LADA Minta Pengunjung Faham Kos Peniaga

Gambar Hiasan
LANGKAWI - Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) yang peka dengan rungutan kos barangan dan perkhidmatan tinggi di pulau ini akan memastikan pengunjung mendapat perkhidmatan setimpal dengan bayaran yang mereka keluarkan.

Namun Ketua Pegawai Eksekutif Lada, Tan Sri Khalid Ramli berkata, pengunjung juga perlu memahami kos yang terpaksa ditanggung oleh penyedia perkhidmatan.

"Ia mempunyai kaitan dengan penawaran dan permintaan, namun kita tidak mahu harga (barangan dan perkhidmatan) dinaikkan secara melampau ketika ramai orang berkunjung ke Langkawi," katanya kepada pemberita.

Beliau diminta mengulas posting yang dibuat dalam media sosial oleh seorang pegunjung dari Perak yang berkata, beliau dicaj bayaran tidak munasabah semasa makan makanan laut di sebuah restoran.

Pengunjung itu berkata, beliau dikenakan caj sehingga RM1,131 untuk makanan yang antara lain berupa empat kilogram ikan kerapu harimau, udang dan sotong bersama 18 orang anggota keluarganya.

Khalid menjelaskan kerapu harimau segar memang mahal di Langkawi, namun pemilik restoran masih boleh mengenakan bayaran yang munasabah.

Lagi pun harga makanan telah ditunjukkan dalam menu untuk perhatian pengguna, katanya. - Bernama