Harta Karun Paling Bernilai Dalam Sejarah Ditemui Lepas 300 Tahun

Cartagena - Pihak berkuasa semalam mengumumkan ia menemui rangka kapal Sepanyol yang sarat dengan emas, perak dan batu berharga, 300 tahun selepas ia dikaramkan Britain di Laut Caribbean.

“Ia penemuan harta karun paling bernilai pernah ditemui dalam sejarah kemanusiaan,” kata Presiden Juan Manuel Santos, kelmarin.


Dia berkata demikian di bandar pelabuhan Cartagena, berhampiran tempat pakar menemui harta itu.

Pemburu harta karun berusaha mencari kapal itu sejak puluhan tahun lalu yang disifatkan oleh beberapa pihak sebagai ibu kepada semua kapal yang karam.

Jumlah harta yang dipercayai berada dalam rangka kapal itu dianggarkan bernilai sekitar AS$2 bilion (RM8.4 bilion).

Nilainya sepatutnya lebih tinggi tetapi menurun kerana kejatuhan mendadak harga perak, menurut Sea Search Armada (SSA) yang berpejabat di Amerika Syarikat.


SSA yang mendakwa menemui tempat rangka kapal itu terdampar pada awal 1980-an, terbabit dalam pertelingkahan sengit dengan kerajaan Colombia mengenai hak ketuanan terhadap harta itu.

Kapal itu, San Jose, karam pada Jun 1708 berhampiran Islas del Rosario, di pesisir pantai Colombia ketika bertempur dengan kapal Britain yang cuba merampas kargonya, sebahagian daripada Perang Rebut Takhta Sepanyol.

San Jose kapal utama mengetuai sekumpulan kapal membawa emas, perak dan barangan berharga lain dari tanah jajahan Sepanyol di benua Amerika untuk Raja Philip V.  -Agensi