Sebuah kenderaan Toyota Hilux pacuan empat roda terbalik selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah keretapi penumpang di Kampung Mandahan semalam. - Foto BERNAMA |
KOTA KINABALU – Seorang kanak-kanak lelaki cedera parah selepas kenderaan jenis pacuan empat roda yang dinaikinya dilanggar keretapi penumpang di Kg Mandahan, kira-kira 23 kilometer dari pekan Papar, dekat sini semalam.
Mangsa yang dikenali sebagai Alexander Askon@Mohd Firdaus Abdul Gaffar berumur satu tahun itu cedera parah di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk rawatan.
Ketua Polis Daerah Papar DSP George Abdul Rakman berkata ketika kejadian kenderaan berkenaan dalam perjalanan dari arah Kg Mandahan menuju ke pantai Mandahan.
“Apabila sedang melintasi landasan keretapi, tiba-tiba (pemandu) terkejut mendengar siren keretapi dari arah kanan dan pada masa yang sama enjin kenderaan itu mati menyebabkan ia tidak sempat mengelak dan dilanggar oleh keretapi itu. Kenderaan berkenaan berpusing sebelum terbalik,” kata George dalam kenyataan di sini.
Sebuah keretapi penumpang yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan Toyota Hilux pacuan empat roda di Kampung Mandahan hari ini. – Foto BERNAMA |
Bagaimanapun, kata George, pemandu kenderaan pacuan empat roda berkenaan cuma cedera ringan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Papar Penolong Penguasa Dunstan Peter berkata ketika kejadian, keretapi berkenaan dalam perjalanan dari Papar ke Beaufort.
Katanya pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira 9.22 pagi sebelum menghantar empat anggota yang tiba di lokasi 22 minit kemudian. – BERNAMA