KUALA LUMPUR – Kemudahan rawatan percuma di hospital sementara kendalian Pusat Pakar Perubatan Universiti Teknologi MARA (UiTM) adalah antara perkhidmatan disediakan bagi perwakilan dan pengunjung Perhimpunan Agung UMNO 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Pakar Perubatan Kecemasan pusat berkenaan, Dr. Izzat Ismail berkata kemudahan itu meliputi rawatan seperti kesukaran bernafas dan kecederaan trauma seperti jatuh atau pengsan.
Katanya petugas daripada unit rawatan ditempatkan di beberapa lokasi di setiap aras bangunan PWTC untuk tujuan berkenaan.
“Secara amnya, ia terbahagi kepada tiga pasukan utama iaitu merawat pesakit kenamaan, orang ramai dan pesakit hospital (sementara) ini. Mereka ditempatkan di tiap-tiap aras PWTC supaya rawatan boleh diberikan dengan segera,” katanya kepada Bernama.
Hospital sementara UiTM, yang dianggotai 45 petugas terdiri daripada 10 doktor pakar dan 35 jururawat serta paramedik, turut dibantu 25 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.
Sebanyak 20 katil iaitu 10 katil pesakit lelaki dan 10 lagi untuk pesakit wanita disediakan di hospital sementara itu.
Dr Izzat yakin bekalan ubat-ubatan adalah mencukupi bagi merawat pesakit sepanjang lima hari perhimpunan itu.
“Tentang ubat-ubatan, Alhamdulillah kami tidak kekurangan. Jika ada, Hospital Kuala Lumpur akan hantar ubat tambahan,” katanya.
Sekiranya menghadapi komplikasi kesihatan, orang ramai boleh mendapatkan rawatan di hospital sementara itu yang dibuka mulai 7 pagi hingga 11 malam di Aras 4, PWTC. – BERNAMA