Hospital Parkway East di Telok Kurau, tenggara Singapura |
SINGAPURA – Pesakit beragama Islam kini boleh memanfaatkan kemudahan lebih luas semasa mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta tempatan di sini, lapor stesen milik pemerintah, Channel NewsAsia.
Selain hidangan diet halal lebih pelbagai, Hospital Parkway East di Telok Kurau, tenggara Singapura itu turut memudahkan amalan tahnik atau acara belah mulut dengan memberi manisan kepada bayi Islam baharu lahir.
Ini adalah sebahagian daripada usaha untuk meluaskan jangkauan perkhidmatan kepada anggota masyarakat Muslim tempatan, di samping memberi lebih keselesaan kepada pesakit Islam yang mahu menjalani rawatan.
Kadar pesakit Islam di Hospital Parkway East yang memiliki 106 katil dalam empat buah wad adalah sekitar 22 peratus, iaitu jauh lebih tinggi berbanding kadar dengan kebanyakan hospital swasta lain di Singapura sendiri.
Untuk memenuhi keperluan para pesakit Islam dan keluarga mereka, keseluruhan dapur di hospital ini berjaya mendapatkan pensijilan halal daripada pihak Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sejak 22 November lalu.
Lebih menarik, menu halal tidak hanya terhad kepada hidangan ala Melayu, Cina atau India. Ia juga menawarkan makanan berzat untuk ibu bersalin dalam pantang, seperti ikan salmon bakar, sup ayam ginseng dan teh longan.
“Mereka beritahu semua halal. Banyak makanan dalam pantang yang berkhasiat. Jadi senang, tidak perlu fikir di mana untuk cari makanan, tidak perlu bawa dari rumah, tidak susah pada saya,” kata pesakit, Sumiyati Hassan.
Hospital Parkway East yang terletak di Joo Chiat Place bahkan adalah hospital swasta pertama di Singapura yang berjaya menyediakan makanan berstatus halal dan patuh syariah untuk keseluruhan menu hidangannya.
Ini bermakna, makanan yang sama itu sekali gus lebih praktikal kerana turut dihidangkan kepada kesemua pesakit termasuk bukan Muslim, jelas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Phua Tien Beng kepada Channel NewsAsia.
“Kami memiliki lebih 100 pakar dan satu pertiga daripada mereka boleh bertutur bahasa Melayu atau doktor Melayu, ini secara semula jadi menarik minat masyarakat Melayu untuk dapat rawatan di sini,” kata beliau lagi.
Malah ujarnya hasil maklum balas yang diterimanya, ada pesakit datang dari sejauh kawasan barat Singapura. Hospital itu juga memberi sentuhan istimewa, iaitu amalan tahnik khusus bagi bayi-bayi Islam yang baharu lahir.
“Kami memikirkan beberapa idea dan akhirnya pilih pek madu atau ‘honey sticks‘ yang dibungkus secara individu. Jika keluarga Muslim itu mahu sesuatu yang manis untuk bayi mereka, kami tawar pek madu ini,” tambahnya.
Secara tradisi hospital ini menjadi pilihan untuk ramai bakal ibu yang bersalin buat kali pertama. Namun ia juga menyaksikan peningkatan pada jumlah pesakit Islam yang mendapatkan pelbagai perkhidmatan rawatan lain.
Untuk keluarga yang hanya ziarah pesakit, mereka tidak perlu khuatir kerana semua makanan disediakan di kafeteria hospital ini juga dijamin halal sepenuhnya, kata Penolong Cef Hospital Parkway East, Saemah Mohd.
“Kami pastikan setiap barang ada sijil halal rasmi MUIS, dengan semua kotak atau botol perencah pun mesti terdapat logo halal,” katanya yang turut merancang untuk meluaskan menu halalnya hasil maklum balas pesakit. – Agensi