Ibu 12 Anak Dianugerah Tokoh Ibu Mithali Negeri Kedah

Fauziah (kiri) menunjukkan replika cek kepada sebahagian anak, cucu dan cicitnya.
ALOR SETAR – Seorang ibu yang mempunyai 12 anak tidak menyangka kesabaran dan kecekalannya membesarkan anak sehingga berjaya, mendapat penganugerahan istimewa sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri semalam.

Fauziah Ahmad, 70, yang mempunyai 46 cucu serta lima cicit adalah bekas guru di Sekolah Menengah Agama Tarbiah Islamiah, Kuala Pegang, Baling.

Khidmat memberikan didikan agama kepada anak muridnya dilihat begitu besar, namun tanggungjawab untuk membesarkan 12 anaknya masih digalas dengan baik. Tujuh daripadanya berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading serta mempunyai kerjaya sendiri.

Beliau juga sentiasa disenangi masyarakat kampung apabila sering dilantik sebagai ahli jawatankuasa dalam setiap program yang dihadiri, sekaligus memberikan khidmat berkaitan hal ehwal agama kepada mereka.

Berdasarkan pegangan dan semangat hidupnya, beliau dianugerahkan Tokoh Ibu Mithali sempena sambutan Maulidur Rasul setelah diperkenankan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Temenggong, Tan Sri Tunku Sallehudin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Menceritakan sedikit cara didikan kepada anak-anaknya, beliau bersama suami, Yahya @ Husain Lebai Ahmad sentiasa memberi dorongan kepada mereka untuk mencipta kejayaan demi kejayaan.

Penekanan terhadap asas agama dan ketegasan di akar umbi penting bagi membolehkan setiap gerak geri dan aktiviti hidup tidak menyimpang dari syariat agama Islam.

Fauziah berkata, pemantauan terhadap anak di peringkat awal amat dititikberatkan dan inisiatif mengadakan bacaan yassin berjemaah ketika menghadapi peperiksaan turut dilaksanakan sehingga peringkat cucunya.

“Sebenarnya nak didik anak ini satu cabaran yang cukup besar. Terutama sekali ketika saya menghadapi kemiskinan pada suatu ketika dahulu.

“Bagaimanapun, saya dan suami cuba sedaya upaya untuk menjaga mereka. Lebih-lebih lagi dalam peperiksaan perlu tegas untuk pastikan mereka mengulang kaji pelajaran,” katanya kepada media.

Menurutnya, kebanyakan anaknya kini adalah guru agama, pesara tentera, pengamal perubatan Islam, eksekutif syarikat cari gali minyak, dan pembantu jurutera.

Sumber: Sinar Harian