Imigresen Kedah Berkas 22 PATI Di Padang Serai, Sg Petani


ALOR SETAR - Sebanyak 22 Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati termasuk sembilan wanita warga Thailand, ditahan Imigresen Kedah dalam dua operasi berasingan yang dijalankan serentak di Padang Serai dan Sungai Petani, awal pagi semalam.  

Pengarahnya Mohamad Yusri Hashim berkata dalam 'Ops Sayang' pada 12.20 pagidi pusat hiburan di Padang Serai itu, sembilan wanita Thailand ditahan ketika sedang leka melayan pelanggan.

Turut ditahan seorang lelaki tempatan berumur 26 tahun yang merupakan majikan mereka.

Dalam 'Ops Sapu' di Sungai Petani pula, tujuh lelaki warga Indonesia, Bangladesh (empat) dan dua warga Nepal yang bekerja sebagai pekerja binaan ditahan.

Beliau berkata mereka ditahan atas pelbagai kesalahan antaranya tiada dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa dan melindungi Pati, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kesemua Pati berusia antara 23 dan 54 tahun itu kini ditahan di lokap Imigresen Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan sebelum diserah ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik. - Bernama