Imigresen Kedah Berkas 59 PATI Dalam Serbuan Di Jitra


ALOR SETAR – Jabatan Imigresen Kedah menahan 59 pendatang asing tanpa izin (PATI) pelbagai warganegara dalam Operasi Bersepadu di sebuah tapak pembinaan di Jitra, semalam.

Pengarahnya, Mohamad Yusri Hashim berkata dalam operasi yang dijalankan pada pukul 2.40 petang itu, pemeriksaan dijalankan terhadap 116 warga asing di rumah kongsi dan sekitar tapak pembinaan di Taman Tunku Intan Safinaz, Jitra.

Hasilnya, 59 warga asing terdiri 13 lelaki warga Bangladesh, 27 lelaki warga Myanmar dan 14 lelaki serta lima wanita warga Indonesia berumur antara 18 hingga 55 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Yusri Hashim berkata semua yang ditahan ditempatkan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik.

Operasi turut dibantu Unit Pencegah Penyeludupan (UPP), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). – BERNAMA