ALOR SETAR - Jabatan Imigresen Kedah menahan 34 warga asing dalam serbuan di rumah kongsi dan rumah sewa di Sungai Petani dan Kuala Ketil, awal pagi semalam.
Pengarahnya Mohamad Yusri Hashim berkata operasi bermula 2.15 pagi itu dijalankan terhadap sebuah rumah kongsi dan empat rumah sewa di sekitar Sungai Petani serta dua rumah di Kampung Raja, Kuala Ketil.
Hasil pemeriksaan, didapati 22 lelaki Bangladesh, dua lelaki Pakistan dan empat lelaki serta empat wanita Indonesia tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
"Dua lelaki warga Pakistan turut ditahan selepas disyaki memiliki cop lawatan sosial palsu dalam pasport milik mereka," katanya.
Kesemua pati yang ditahan berumur antara 22 dan 46 tahun itu bekerja sebagai tukang jahit dan buruh binaan.
Katanya, kesemua warga asing ditempatkan di Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini untuk siasatan lanjut sebelum diserah ke Depot Tahanan Imigresen Belantik di Sik. - Bernama