#Islam Ajar Keamanan, Tidak Pernah Ajar Keganasan Pada Ummah


ISLAM tidak pernah me­nga­jarkan keganasan. Dalam ajaran Islam hanya ada fiqh jihad yang jauh sama sekali daripada pengertian keganasan.

Mana-mana kumpulan atau individu yang melakukan kerosakan di atas muka bumi ini maka mereka ialah orang yang zalim. Maksud firman Allah SWT:
“Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Surah al-Qasas: 77).
Menceroboh dan membunuh sesuka hati seperti yang dilakukan oleh kumpulan pengganas Negara Islam (IS) atau mana-mana kumpulan pengganas sekali pun adalah contoh kerosakan dan kezaliman.

Demikian juga dengan tindakan membunuh beramai-ramai dengan cara meletupkan diri (suicide attacks) di tengah-tengah masyarakat awam adalah satu jenayah yang bukan daripada ajaran Islam. Membunuh tanpa hak adalah ibarat membunuh manusia seluruh alam.
“Sesiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan sesiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya.” (Surah al-Maidah: 32).
Justeru, tiada kena-mengena keganasan dengan Islam. Hakikatnya, punca keganasan bukanlah daripada agama tetapi didorong faktor fenomena sosial sehingga berlakunya ketidakadilan dan penindasan dalam masyarakat. 

Kejahatan yang dilakukan oleh kumpulan IS pada hari ini dilakukan oleh penganut Islam yang menyeleweng (pseudo-adherents) - seperti yang pernah berlaku dalam sejarah Kristian ketika zaman kegelapan dulu.

Sejarah agama itu merakamkan bahawa tentera salib yang terdiri daripada penganut Kristian Eropah telah memanipulasi pengikutnya untuk berjuang menjajah Palestin dari tangan orang Islam di akhir abad ke-11. 


Gerakan itu yang kononnya berjuang atas nama agama telah melakukan keganasan dan kekejaman ke atas orang awam yang tidak bersalah dengan melakukan pembunuhan kejam dalam kota yang dicerobohnya. Demikianlah apa yang dilakukan oleh kumpulan IS pada hari ini, terutama di Iraq dan Syria.

Sama ada tentera salib dulu mahupun kumpulan IS pada hari ini mereka telah melakukan keganasan yang bertentangan sama sekali dengan ajaran agama masing-masing. Kedua-duanya, sama ada tentera salib mahupun IS dibentuk oleh mereka yang jahil tentang agama. 

Apatah lagi kewujudan IS sangat diragui kerana ia dikatakan dilahirkan oleh Zionis sendiri untuk memburuk-burukkan Islam.

Realitinya, kumpulan pengganas itu dipergunakan untuk menjayakan agenda Zionis. Anak-anak muda Islam di seluruh dunia yang terpengaruh dengan IS kebanyakannya kerana mereka jahil dengan tujuan dan agenda sebenar IS yang kononnya berjuang untuk agama.

Ketika Islam mula berkembang di Mekah, ramai yang memeluk Islam termasuk orang Badwi yang tinggal di pedalaman gurun. Oleh kerana Badwi yang tinggal di pedalaman gurun adalah mereka yang mundur dari segi ketamadunan dan intelektual maka mereka gagal memahami dan mendalami Islam dalam erti katanya yang sebenar.

Allah menyatakan hal ini di dalam Al-Quran:
“Orang-orang Arab Badwi itu, lebih banyak kekafiran dan kemunafikannya, dan lebih wajar tidak mengetahui hukum-hukum yang diturunkan Allah kepada Rasul-Nya. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Surah at-Taubah: 97).
Justeru, golongan yang terpengaruh dengan IS itu boleh diumpamakan seperti orang Badwi - terdiri daripada orang yang jahil, kufur dan munafik dan akhirnya menjadi ‘duri dalam daging’ atau petualang kepada Islam.

Golongan fanatik dan ekstrem ini mendakwa diri mereka memahami Islam walaupun pada hakikatnya mereka tidak memahami Islam sepenuhnya sehingga tindakan mereka menyeleweng daripada al-Quran.

Golongan fanatik dan ekstrem seperti ini sanggup membunuh sesiapa sahaja seperti mana yang berlaku ke atas Sayidina Ali yang dibunuh oleh aktivis ekstremis golongan kharijiyah dari puak Syiah.

Penyakit yang ada pada dunia Barat pula ialah mengambil kesempatan atas sifat permusuhan dan kejahilan dengan menubuh atau mempotretkan Islam mengajar dan mendukung keganasan.

Persepsi ini perlu diubah walaupun terpaksa mengambil jangka masa panjang untuk membetulkannya. Dunia Barat yang diterajui Amerika Syarikat (AS) sentiasa mencari ruang dan peluang untuk memburukkan Islam dan penganutnya.

Sering kali juga mereka menggunakan kuasa untuk memerangi negara umat Islam atas nama memerangi keganasan. Mereka cuba menghidupkan atau menyemarakkan pertembungan agama atau budaya seolah-olah mahu membenarkan teori clash of civilization (benturan peradaban), iaitu satu doktrin yang dicipta oleh Samuel Huntington pada 90-an.

Sepatutnya Barat yang didominasi oleh Kristian berusaha merapatkan hubungan dengan dunia Islam kerana Allah sendiri menyatakan bahawa penganut Kristian sebagai paling dekat persahabatannya dengan orang yang beriman (Surah al-Maidah: 82).

Justeru, dialog peradaban mesti terus disemarakkan, terutamanya antara penganut Kristian dan Islam supaya dapat duduk semeja untuk saling bermusyawarah dan memastikan agama tidak dikaitkan dengan sebarang keganasan.

*MOHD. AYOP ABD. RAZID, PENULIS ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan./Utusan