#Islam: Akhlak Remaja Melayu Muslim Didedah Makin Serius Parah

Gambar Hiasan
PROSES mendidik dan membentuk anak-anak mengikut acuan ajaran Islam bukanlah perkara mudah. Ini menuntut komitmen serta kesabaran tertinggi daripada ibu bapa.

Terdapat ulama yang berpandangan untuk membangunkan peribadi solehah anak-anak perempuan adalah melalui penghayatan dan pemahaman intipati yang terkandung dalam surah an-Nur.

Surah ini sangat sesuai untuk membangunkan jiwa dan rohani remaja wanita kerana di dalamnya banyak menyebut tentang penjagaan maruah dan hukum-hukum penting tentang kekeluargaan.

Manakala, bagi anak lelaki pula pasakkan jiwa mereka dengan kefahaman daripada surah al-Maidah. Dalam surah itu Allah banyak menjelaskan tentang peranan dan tanggungjawab lelaki, kepimpinan, hubungan dengan orang bukan Islam atau ahli kitab serta perkara berkaitan dengan nafkah.

Realitinya, walaupun dalam al-Quran Allah telah meletakkan garis panduan untuk diambil teladan bagi mendidik generasi soleh seperti pesanan Lukman al-Hakim, tetapi kes penzinaan dan pembuangan bayi yang dilakukan oleh remaja Muslim di negara ini semakin bertambah saban hari.

Tambah menyedihkan, terdapat remaja lelaki dan wanita yang baru berusia belasan tahun tanpa segan silu memaparkan aksi panas dan mesra mereka kepada khalayak ramai.

Persoalannya, di manakah hilang sifat malu seorang wanita dan sensitiviti sebagai lelaki yang berfungsi untuk menjaga kaum hawa yang bersifat lemah lembut?


Sedangkan dalam Islam, sejak kanak-kanak perempuan belum mencapai usia baligh, mereka telah diasuh agar menjaga maruah dan kehormatan diri. Tidak cukup dengan itu, Islam turut memberi saranan agar dipisahkan tempat tidur antara anak lelaki dan perempuan.

Namun, teladan itu seumpama mencurahkan air di daun keladi lantaran jiwa mereka yang kosong dan tidak mempunyai hala tuju jelas dalam hidup.

AMAT SERIUS

Perkara ini diakui oleh Kaunselor Berdaftar, Hushim Salleh, dari firma Hushim Motivational & Counselling ketika ditemui di pejabatnya di Klang, Selangor baru-baru ini.

Tegas Hushim, kes keruntuhan moral remaja Melayu seperti penzinaan, mengandung anak luar nikah dan membuang anak kini berada pada tahap yang serius.

“Secara purata lapan daripada 10 orang yang datang berjumpa saya untuk mendapatkan nasihat mengaku pernah berzina dan ada di antara mereka sudah hilang dara.

“Tambahan baru-baru ini Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan kenyataan seramai 50 orang anak luar nikah dilahirkan setiap hari. Statistik ini tidak mengambil kira anak luar nikah kaum lain seperti Cina dan India.

“Kita sekarang ingin menjadi seperti negara Barat dan berbangga dengan cara hidup mereka. Seolah-olah tidak akan maju jika tidak mengikuti mereka.

“Sedangkan malu itu adalah sifat orang beriman. Jika dahulu Melayu Islam menjadi kuat dengan pegangan akidah, agama, sopan santun, dan berbudi bahasa, tetapi remaja sekarang sudah hilang sifat-sifat tersebut dalam diri mereka,” katanya.

Kewujudan rumah urut, pusat judi dan arak yang semakin bercambah di dalam negara menjadi penyumbang kepada pertambahan jumlah kerosakan akhlak remaja Melayu, gejala sosial dan budaya hedonisme.

“Kerajaan dan pihak bertanggungjawab perlu menjalankan tugas mereka dengan telus serta tidak melihat kepada keuntungan semata-mata. Tempat seperti ini perlu digempur habis-habisan tidak kira sama ada halal atau haram.

“Tambahan, sekarang ada pula hotel bajet di seluruh negara yang menawarkan harga murah dengan hanya RM9.80 untuk satu jam. Sudah tentu sasarannya adalah golongan remaja yang menjadikannya sebagai tempat untuk melampiaskan nafsu.

“Pencegahan ini bukan hanya terletak kepada ibu bapa sahaja tetapi turut melibatkan semua pihak termasuk orang agama dan ahli politik. Jangan hanya tahu bercakap sahaja tetapi tiada tindakan dilakukan untuk mencegahnya.

Kita tidak mahu suatu masa nanti orang Islam sudah tidak kenal nasab mereka sendiri sehingga menyebabkan adik-beradik berkahwin sesama sendiri,” jelasnya.

Ramai remaja perempuan hari ini sanggup menyerahkan tubuh kepada lelaki asing kerana suara dan emosi mereka tidak didengari oleh ibu bapa dan kekosongan itu diisi oleh teman lelaki.

“Proses mendengar luahan emosi dan perasaan anak-anak amat penting. Terdapat ibu bapa enggan berbuat demikian kerana beranggapan anak-anak yang meningkat remaja dan masuk universiti sudah besar dan mampu menyelesaikan masalah sendiri.

“Sebab itu tidak hairan hari ini ada remaja pandai dari segi akademik tetapi sanggup melakukan perkara tidak bermoral. Ibu bapa hanya mengambil berat kecerdasan mental anak-anak mereka (IQ) seperti menjadi risau jika anak mendapat markah rendah dalam peperiksaan, tetapi berapa ramai ibu bapa memberi perhatian kepada masalah emosi anak-anak (EQ)? Oleh kerana perhatian dari segi emosi tidak ada maka anak-anak akan mudah merasa sedih, kurang perhatian dan keseorangan.

“Ibu bapa juga turut mengabaikan kecerdasan rohani dan pembangunan jiwa anak-anak mereka seperti solat dan hubungan dengan Pencipta. Apabila ilmu ini tiada mereka mudah dirasuk dengan pujukan syaitan untuk melakukan penzinaan,” kata Kaunselor Berdaftar, Hushim Salleh, dari firma Hushim Motivational & Counselling.

Seiring dengan kecanggihan teknologi, ibu bapa perlu mengubah corak dan cara didikan anak-anak terutamanya dalam aspek pendidikan seks dengan menekankan mengenai bahaya seks bebas dan elakkan daripada melihat gambar ‘kotor’ kerana akan menyebabkan pemikiran dan jiwa menjadi rosak.

“Apabila anak-anak meningkat usia 13 hingga 15 tahun, masa ini adalah sesuai untuk jelaskan kepada mereka. Sekarang kita tidak boleh mengelak lagi untuk menerangkan tentang pendidikan seks berikutan gambar dan video itu boleh dilihat dengan mudah di dalam media sosial seperti telefon dan komputer.

“Tidak dinafikan ada ibu bapa merasa malu untuk bercakap tentang seks kepada anak-anak. Mereka ini jika tidak tahu perlu mencari ilmu dan membawa anak berjumpa dengan kaunselor,” kata Hushim Salleh.

Tambahnya, berdasarkan kes-kes yang pernah dikendalikan, kanak-kanak berusia lapan tahun antara yang termuda mengalami ketagihan menonton video lucah.

Tambah Hushim, dalam membesarkan anak-anak, ibu bapa bertanggungjawab memberi didikan terbaik, tetapi sebaliknya yang berlaku apabila anak-anak tidak mendapat kasih sayang dan perhatian sewajarnya kerana mereka terlalu sibuk dengan pekerjaan.

“Ada ibu bapa yang bekerja dari pagi sehingga lewat malam atau bekerja secara shif kerana kos sara hidup di bandar semakin meningkat. Golongan seperti ini perlu korbankan masa berkualiti dengan anak-anak demi mencari wang. Kesannya apabila pulang ke rumah mereka sudah penat dan tiada masa untuk anak-anak,” katanya.

Katanya, kesibukan ibu bapa menyebabkan mereka tertinggal elemen penting iaitu model keibubapaan dalam mencorak peribadi dan akhlak Islam kepada anak-anak.

“Walaupun didikan dan penerangan ilmu agama menjadi subjek wajib diajar di sekolah tetapi persoalannya kenapa kes penzinaan, mengandung anak luar nikah, liwat dan gejala sosial semakin meningkat? Jawapannya adalah kerana kasih sayang sudah tiada.

“Contohnya, amalan solat berjemaah, makan bersama-sama sudah tidak diamalkan. Sedangkan dua waktu itu adalah masa paling sesuai untuk bercakap dan memberi nasihat supaya tidak bergaul bebas antara lelaki dan perempuan.

“Ukuran kasih sayang yang diberikan oleh ibu bapa zaman sekarang berbeza berbanding dahulu kerana nilai itu dilihat melalui material seperti pemberian makanan, wang ringgit serta memanjakan anak-anak dengan gajet. Sebaliknya kasih sayang yang diperlukan oleh anak-anak adalah komunikasi dan sentuhan mereka,” katanya.

Hushim berkata: “Ibu bapa perlu bijak menguruskan masa dengan anak-anak. Mereka tidak boleh berkata penat. Jadikan hari cuti sebagai masa terbaik untuk merancang aktiviti bersama-sama.

“Senjata untuk mengelakkan penzinaan dan gejala sosial adalah melalui kasih sayang. Orang yang mempunyai kasih sayang susah untuk menyerahkan dirinya kepada orang lain.

“Biasanya orang yang tidak memiliki kasih sayang akan mudah dipujuk, dibelai kerana jati diri mereka tidak kuat. Buktinya berapa ramai yang datang jumpa dengan saya sedang mengandung anak luar nikah dan ada yang mengaku sudah hilang dara,” katanya.

Sumber: Utusan