DEFINISI kecemerlangan berbeza bergantung kepada pemahaman seseorang terhadap istilah itu dalam kehidupan mereka.
Ustaz Engku Ahmad Fadzil Engku Ali menerusi Islam Itu Indah di IKIMfm minggu lalu menerangkan, sesetengah individu mengukur kecemerlangan berdasarkan kekayaan dan kemewahan.
Namun ada juga menafsirkan kecemerlangan melalui sahabat yang didampingi. Tidak kurang menafsirkan kecemerlangan dengan menggarap tujuan hadir di bumi Allah SWT dan mengakhirinya dengan memperoleh keredaan-Nya.
Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali dalam kitab karangannya memetik pengalaman tokoh besar kalangan zahid iaitu Imam Hatim al-Asham atau nama lengkapnya Abu Abdirrahman Hatim ibn Alwan al-Asham.
Menurut Syaykh Abu Ali ad-Daqaq, Hatim mendapat julukan al-Asham (yang tuli) bukan kerana beliau tuli tetapi beliau pernah berpura-pura tuli demi menjaga kehormatan seseorang.
Dikisahkan, berlaku dialog di antara Hatim al-Asham dengan gurunya, Syaqiq al-Balkhi yang bertanya kepada beliau: "Berapa lama kamu berguru denganku?
Lalu dijawabnya: Sudah 33 tahun.
Gurunya bertanya lagi: Apa yang kamu pelajari dariku selama itu? Hatim menjawab: Ada lapan perkara.
Gurunya lantas berkata: Aku habiskan umurku bersamamu selama itu dan kamu tidak belajar kecuali lapan perkara?
Hatim menjawab: Guru, aku tidak belajar selainnya. Sungguh aku tidak bohong.
Syaqiq kemudian berkata lagi: Cuba jelaskan kepadaku apa yang sudah kamu pelajari."
Hatim menjelaskan, perkara pertama menurut perhatian beliau, manusia dilihat kebiasaannya memiliki sesuatu yang amat dicintai dan dikasihi baik manusia ataupun harta benda.
Kasih itu akan terserlah ketika mereka sakit sehingga meninggal dunia. Tetapi apabila sudah sampai di kubur, kekasih akan berpaling kerana tidak sanggup bersama di kubur maka si mati ditinggalkan.
Mereka yang hidup akan kembali kepada rutin harian mereka. Justeru, Hatim memilih kekasih yang sanggup bersamanya walaupun di alam kubur dan memilih amal kebaikan sebagai kekasihnya.
Kedua, beliau mendalami firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan adapun orang yang takut pada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya)." (Surah an-Nazi'at, ayat 40-41)
Beliau melihat manusia sanggup bersegera dalam memenuhi kehendak hawa nafsu lalu mengukurnya dengan meneliti firman Allah SWT yang benar maka meneguhkan diri menolak hawa nafsu sehingga mampu mentaati Allah SWT.
Sentiasa bimbang hilang harta
Seterusnya, diamati sifat manusia yang sentiasa diselubungi kebimbangan kehilangan barang berharga yang dimiliki sehingga mendorong beliau memahami firman Allah SWT yang bermaksud:
"Apa yang ada di sisimu akan lenyap dan apa yang ada di sisi Allah kekal." (Surah an-Nahl, ayat 96)
Apabila Hatim memiliki sesuatu yang berharga, maka segera saja diserahkan kepada Allah SWT supaya harta milik dan kesayangannya terjaga bersama-Nya dan tidak hilang. Kehidupan sebagai manusia sememangnya tidak pernah terduga dan terjangka.
Saban pagi keluar rumah untuk melakukan tugasan sebagai isteri, suami atau ibu bapa dan anak, tetapi petang hari kembali ke rumah sebagai jenazah. Maka, apakah bekalan yang dibawa? Maka banyakkan sedekah dan berinfak harta yang paling disayangi di jalan Allah SWT.
Selain itu, diamati firman-Nya yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kalian di sisi Allah SWT adalah orang yang paling bertakwa di antara kalian." (Surat al-Hujurat, ayat 13)
Kelima, Hatim memerhatikan manusia mencela dan mencaci antara satu dengan yang lain. Jelas, masalah utamanya adalah sifat iri hati. Kemudian beliau membaca firman Allah SWT yang bermaksud:
"Kami sudah menentukan pembahagian nafkah hidup di antara mereka dalam kehidupan dunia." (Surah az-Zukhruf, ayat 32)
Sifat iri hati
Justeru, ditinggalkan sifat iri hati dan menghindar daripada manusia kerana beliau tahu pembahagian rezeki itu daripada Allah SWT. Sifat itu menjadikannya tidak memusuhi dan iri kepada orang lain.
Keenam, tabiat saling menganiaya dan memerangi antara satu sama lain. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagi kalian, maka anggaplah ia musuh (kalian)." (Surah Fatir, ayat 6)
Oleh itu, beliau menghindar daripada memusuhi orang lain sebaliknya berusaha fokus dan penuh waspada dalam menghadapi permusuhan syaitan.
Ketujuh, diperhatikan juga manusia suka menghina diri mereka sendiri dalam mencari rezeki. Bahkan, ada yang berani menjerumuskan diri kepada hal tidak halal. Kemudian diteliti firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan tidak ada satu binatang melata pun di bumi ini melainkan Allah SWT yang menanggung rezekinya." (Surah Hud, ayat 6)
Maka beliau menyibukkan diri dengan apa yang Allah SWT anugerahkan kepadanya serta meninggalkan perkara yang bukan miliknya.
Terakhir, manusia dilihat menyerahkan diri kepada makhluk lain seperti sawah ladang, perniagaan, hasil karya produksi dan kesihatan badannya. Maka beliau menghalusi firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan barang siapa bertawakal kepada Allah nescaya Ia akan mencukupi (keperluannya)." (Surah al-Thalaq, ayat 3)
Lalu beliau menyerahkan diri kepada Allah SWT kerana Dia yang akan mencukupi segala keperluan. Mendengar pernyataan Hatim, gurunya Imam Syaqiq al-Balkhi mendoakannya: "Semoga Allah memberi pertolongan kepadamu."
Sumber: Berita Harian