Umat Islam di Malaysia secara umumnya mengamalkan toleransi yang tinggi dalam, hidup bermasyarakat dengan penganut agama lain.
Sebab itu, tidak ada sebarang sekatan untuk penganut agama lain mengamalkan ritual mereka yang berpatutan asalkan mereka menghormati sensitiviti umat Islam.
Masalahnya apabila ada umat Islam yang terlebih-lebih dalam menyambut perayaan agama lain terutama krismas. Sehinggakan ada orang Islam yang lebih beria-ia menyambut Christmas eve pada malam 25 Disember. Malah ada yang turut memakai pakaian Santa Claus atau topi merah Santa.
Orang mukmin sebelum melakukan sesuatu perbuatan atau tindakan pasti akan merujuk kepada agama.
Ini bagi menentukan sama ada boleh atau tidak tindakan tersebut dilakukan. Malah Rasulullah SAW telah memberi peringatan dalam bab tasyabbuh (menyerupai) sesuatu kaum ini. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka”. (Diriwayatkan daripada beberapa orang sahabat antaranya Anas bin Malek).
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 April 2005 telah membincangkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam.
Untuk itu, beberapa kriteria utama perlu dijadikan garis panduan supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Kriteria-kriteria tersebut adalah seperti berikut;
Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam. Maksud `bertentangan dengan akidah Islam’ ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam.
Contohnya;
i. menyertakan simbol-simbol agama seperti salib, memasang lampu, lilin, pokok krismas dan sebagainya.
ii. menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama.
iii. meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh.
iv. memberi ucapan atau isyarat yang berbentuk pujian kepada agama orang bukan Islam.
v. tunduk atau melakukan perbuatan seolah-olah menghormati upacara agama orang bukan Islam.
Adapun mengucapkan tahniah atau selamat menyambut krismas adalah diharuskan selagi mana kita tidak menyambut perayaan mereka. Ucapan itu sekadar tanda hubungan sesama insan. Inilah pandangan ulama kontemporari, Prof. Dr. Yusuf Qaradawi.
Ini bersandarkan kepada firman Allah SWT yang bermaksud:
"dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya atau balaslah ia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu. (an-Nisa’: 86)
Sepatutnya, kita tidak perlu ambil kisah dengan krismas. Sebabnya, ada sambutan yang lebih utama iaitu Maulid Nabi yang kita raikan pada tanggal 12 Rabiulawal yang jatuh pada 24 Disember 2015. Kita memperingati kelahiran kekasih Allah yang membawa rahmat ke seluruh alam.
Maulid Nabi yang disambut setiap tahun oleh kaum Muslimin seluruh dunia pada alaf ini adalah satu bentuk pengagungan, kecintaan dan penghormatan seluruh umat terhadap Nabi Muhammad SAW. Pengisian sambutan hendaklah tidak mengandungi perkara-perkara yang bercanggah dengan syarak.
Baginda SAW adalah insan terbaik dan menjadi contoh ikutan kita. Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud:
"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, (al-Ahzaab: 21)
Sumber: Utusan