#Islam: Sains Tanpa Al-Quran Bagaikan Tiada Nilainya


BANYAK kisah luar biasa diceritakan dalam al-Quran. Sesetengah daripadanya berjaya dirungkai secara saintifik tetapi ada juga sehingga kini sukar dijangkau dan difahami oleh akal manusia.

Antara kisah luar biasa itu ialah tentang Nabi Musa a.s. membelah dan menyeberangi lautan luas dengan menunggang kuda. Nabi Ibrahim a.s. dibakar hidup-hidup dalam unggun api yang marak, tetapi langsung tidak memberikan sebarang kesan. 

Begitu juga peristiwa sekumpulan manusia yang tertidur dalam gua dan dibangunkan semula selepas lebih 300 tahun,  peristiwa Israk Mikraj Rasulullah SAW, Nabi Sulaiman a.s. boleh berkomunikasi dengan makhluk selain manusia, alam kubur, akhirat, syurga, neraka dan banyak lagi kisah yang tidak mampu dijangkau oleh akal manusia.

Kisah-kisah luar biasa itu bukanlah suatu perkara yang mustahil untuk terjadi walaupun ia tidak boleh dirungkai dari sudut kajian saintifik atau logik akal manusia.

Kisah atau peristiwa luar biasa tersebut menepati peranan al-Quran sebagai petunjuk bagi umat manusia dalam mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Kebahagiaan hidup bukan hanya dengan cara mentaati setiap perintah Allah SWT tetapi juga berusaha menepati ciri-ciri seorang khalifah Allah di muka bumi ini.

Bagi Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Yusof Othman, kisah atau peristiwa luar biasa itu sememangnya tidak boleh dikaji secara saintifik.

Jelas beliau, pendekatan saintifik terbatas, tidak mutlak dan tidak diwarnai oleh nilai budaya serta agama seseorang.

“Dalam Islam terdapat empat kategori peristiwa berlaku yang tidak dapat difikirkan secara saintifik atau logik akal. Peristiwa ini berhubung kait dengan sihir, pertolongan Allah SWT, karamah dan mukjizat,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di UKM, Bangi, Selangor baru-baru ini.

Sebaliknya, ahli fizik itu menegaskan, pendekatan saintifik sesuai untuk memahami tabii alam bagi membolehkan kita mengurus dan mentadbir alam ini dengan lebih berkesan. 

Pemahaman tentang alam tabii ini bukan hanya membolehkan kita beramal bakti, menyuburkan kelestarian insan dan memastikan kebenaran dapat mengalahkan kebatilan.

“Malah, kita juga boleh menjadikan dunia sebagai landasan untuk membina kehidupan yang lebih baik di akhirat nanti,” katanya yang juga penulis buku: Pengenalan Sains Tauhidik, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sains bermula dengan Al-Quran

“Sains tanpa agama, buta. Agama tanpa sains, tempang,” (Albert Einstein). Kefahaman terhadap tabii alam yang dinyatakan dalam al-Quran membuktikan kepada kita, selaku umat Islam, bahawa ilmu Sains bermula dengan fenomena yang dinyatakan dalam al-Quran.

Dalam Islam tiada pemisahan antara al-Quran dengan ilmu sains. Hubungan manusia dengan alam tercetus atas dasar untuk melaksanakan perintah dan tuntutan Allah SWT kepada makhluk ciptaan-Nya.

“Al-Quran suruh kita berfikir kenapa Allah SWT lantik kita sebagai khalifah. Allah bekalkan kita dengan kemampuan berfikir dan ini membezakan kita dengan makhluk lain atas muka bumi ini.

“Malah, suruhan itu juga menjadikan kita berbeza dengan kefahaman masyarakat Barat bahawa sains itu bermula dengan perasaan ingin tahu,” katanya. 

Secara asasnya, Mohd. Yusof berkata, sains dalam Islam bermula kerana ingin melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang Muslim di alam fana ini. Keinginan tersebut boleh dilihat dari aspek melaksanakan hubungan dengan Allah SWT melalui pelaksanaan Rukun Islam dan Rukun Iman.

Contohnya adalah untuk melaksanakan ibadah solat. Dalam menyempurnakan ibadat itu, seseorang Muslim perlu menentukan arah kiblat kerana ia adalah rukun sah solat.

“Inilah yang dilakukan oleh ilmuwan Islam iaitu Abu al-Rayhan Muhammad ibn Ahmad al-Biruni (Al Biruni) dan akhirnya beliau berjaya meyakinkan umat Islam dan juga pemerintah masa itu tentang usahanya tersebut,” katanya.

Begitu juga dengan usaha untuk mencari maksud tergelincir matahari bagi menunaikan solat Zohor. 

Keadaan yang sama berlaku untuk menentukan permulaan puasa serta perayaan Aidilfitri atau Aidiladha.

Seorang lagi ilmuwan Islam, Muhammad ibn Musa al-Khawarizmi yang memperkenalkan ilmu Matematik sebagai satu usaha untuk menyelesaikan masalah pembahagian harta, zakat dan wakaf.

“Banyak kisah luar biasa atau fenomena saintifik yang diceritakan dalam al-Quran tetapi ia tidak diceritakan secara terperinci.

“Untuk mengetahui perinciannya, manusia yang diberikan akal itu perlu berusaha mencari jawapannya. Kita kena akui tidak semua kisah luar biasa atau fenomena saintifik boleh diselesaikan dengan ilmu Sains,” kata Mohd. Yusof.

Sumber: Utusan