Gambar Hiasan |
Ketika menyampaikan titah ucapan pada sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan semalam, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menzahirkan rasa dukacita dengan sikap pihak tertentu yang cuba memperkecilkan atau memberi gambaran negatif terhadap kewujudan agensi-agensi Islam mutakhir ini.
Sebenarnya yang melakukan ‘serangan’ itu bukanlah orang lain tetapi dalam kalangan orang Melayu dan Islam sendiri. Entah apa yang ada dalam kepala mereka apabila berbuat demikian. Bukan sahaja dalam soal agensi agama, malah dalam perkara berkaitan perpaduan ummah pun, ada dalam kalangan orang Melayu yang seolah-olah tidak senang terhadap sebarang usaha sedemikian biarpun ia dilakukan demi kepentingan umat Islam di negara ini.
Sebagai contoh, dalam isu berkaitan usaha mewujudkan perpaduan antara UMNO dan Pas. Terdapat individu atau kumpulan tertentu melontarkan pelbagai pandangan yang bukan bertujuan untuk menjayakannya tetapi mahu menyaksikan ia gagal.
Mereka berpendapat, usaha itu tidak akan menjadi kenyataan dan ada pula terus mengamalkan politik kebencian apabila menyatakan apa yang dilakukan hanya tindakan sia-sia selagi pemimpin-pemimpin tertentu masih ada dalam UMNO dan Pas.
Tidak ada perasaan langsung untuk memberikan pandangan supaya dua parti yang sudah bertelingkah sekian lama kerana berbeza fahaman politik bersatu biarpun ia demi mempertahankan hak orang Melayu serta memperjuangkan agama Islam.
Bagi penulis, kelompok seumpama ini tidak ubah ibarat ‘anai-anai’ yang mampu merosakkan ummah. Tidak kira atas sentimen apapun hujah diberikan, tetapi jika ia menjuruskan kepada sentimen mahu menggagalkan perpaduan umat Islam, perbuatan itu harus ditentang habis-habisan.
Persoalan yang bermain di fikiran kita ialah sampai ke bilakah, orang Melayu harus berhadapan dengan kewujudan watak ‘anai-anai’ dan kelompok manusia yang terus diselubungi dengan perasaan hasad dan dengki. Malang sekali perasaan itu diluahkan terhadap perkara berkaitan bangsa sendiri.
Dalam memperkatakan hal ini, tidak keterlaluan kalau dikatakan kelompok sedemikian mempunyai agenda peribadi. Mereka tidak peduli sama ada apa yang dilakukan akan menguntungkan orang Melayu atau tidak. Apa yang mereka mahu lihat, perpaduan dalam kalangan orang Melayu jangan menjadi kenyataan.
Pandangan itu diberikan kerana mereka tidak mahu jika ia berjaya, ini akan menaikkan imej politik seseorang pemimpin yang mereka tidak suka. Inilah masalah orang Melayu atau lebih tepat lagi sikap orang kita, waima untuk menyatukan bangsa sendiri pun mereka tidak setuju.
Lebih menghairankan ada pula membuat hujah songsang, kononnya penyatuan atau perpaduan yang sedang diusahakan oleh UMNO dan Pas disebabkan kedua-dua parti itu sudah ‘tidak laku’ dan semakin ditolak oleh orang Melayu.
Soalnya, apakah dakwaan itu benar? Kalaulah orang Melayu menolak kedua-dua parti tersebut kepada siapakah orang Melayu hendak bergantung harap? Apakah kepada PKR atau DAP? Tak kan kedua-dua parti itu jauh lebih baik daripada UMNO dan Pas - dua buah parti terbesar orang Melayu.
Justeru kalaupun tidak suka dan tidak mahu menyokong adalah lebih baik pihak-pihak berkenaan mendiamkan diri sahaja. Janganlah melakukan perbuatan yang menjurus kepada bak kata orang mengumpul ‘dosa kering’ apabila menentang satu perkara baik yang amat-amat digalakkan dalam Islam iaitu perpaduan ummah.
Apa yang berlaku membuktikan dalam kalangan orang Melayu, masih ada segelintir mereka terus berfikiran jumud, jahil dan iri hati untuk melihat orang Melayu bersatu. Penentangan yang dilakukan bukan kerana mereka tidak memahami bahawa perpaduan baik untuk orang Melayu tetapi kerana mereka benci kepada seseorang pemimpin.
Oleh itu mereka cuba melakukan ‘teori bodoh’ dengan mengaitkan isu tertentu dengan soal perpaduan UMNO dan Pas. Mereka begitu gembira memetik kenyataan mana-mana pemimpin yang ‘sehaluan’ dengan mereka termasuklah dalam Pas bagi menyokong ‘hujah-hujah dangkal’ mereka.
Berdasarkan ayat-ayat dan perkataan yang digunakan dalam melontar pandangan mereka ia bukanlah berdasarkan kepada fakta tetapi lebih kepada emosi. Tetapi malangnya orang seumpama itu merasakan mereka hebat dan berpengaruh, biarpun suatu ketika dahulu ada antara mereka yang bertugas dalam kerajaan tidak ubah seperti ‘badut politik’ semata-mata.
Penulis akui untuk memastikan perpaduan antara UMNO dan Pas benar-benar wujud bukanlah mudah, apatah lagi dengan ada mereka yang bersedia menjadi ‘pengkhianat’ kepada usaha tersebut tetapi pihak yang terlibat tidak boleh berputus asa.
Ini memandangkan apa yang akan dilakukan bukanlah soal politik sebaliknya demi perpaduan ummah. Sudah dipertegaskan berkali-kali oleh banyak pihak, ia bukan soal politik tetapi soal survival bangsa Melayu!. Tetapi malangnya, pihak-pihak tertentu sengaja membutakan mata dan hati untuk melihat perkara ini dengan telus.
Mereka masih mahu bercakap soal politik, walaupun majoriti orang Melayu melihat hasrat kedua-dua parti itu adalah penting ketika orang Melayu dan umat Islam semakin tidak dihormati kerana perbalahan sesama mereka.
Sebab itulah muncul kelompok yang sewenang-wenangnya mempertikaikan agensi agama kerana mereka tahu orang Melayu tidak bersatu. Sepatutnya, kalau benar mereka ikhlas dan kononnya berpengaruh dalam media sosial, berilah cadangan membina bagaimana hendak memastikan usaha perpaduan antara UMNO dan Pas itu dapat direalisasikan.
Namun ini tidak berlaku kerana hati dan fikiran mereka sudah bercelaru untuk membezakan yang mana harus disokong dan yang mana pula harus ditentang. Sepatutnya dalam berhadapan dengan apa juga isu, kelompok itu mendalami dan berpegang kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Malik, Bukhari, Abu Daud, Tirmidhi dan Nasa’i, Rasulullah SAW bersabda;
“Janganlah kamu saling memutuskan silaturahim, janganlah kamu saling belakang membelakangi, janganlah kamu saling benci-membenci dan janganlah kamu saling hasad menghasad. Sebaliknya jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim itu memulaukan saudaranya (yang mukmin) melebihi 3 hari”.
Inilah pesanan baginda ayat yang sepatutnya dijadikan panduan dalam usaha mewujudkan perpaduan dalam kalangan orang Melayu termasuklah daripada UMNO dan Pas. Penulis yakin kelompok yang menentang itu bukannya tidak faham atau tidak tahu tetapi disebabkan, politik kebencian sudah meresapi ke dalam fikiran sehingga menutup pintu hati mereka untuk menerima perkara baik, merekalah ‘anai-anai’ perosak ummah!
Sumber: Utusan